KEPUTUSAN pemilihan jawatan ketua sayap Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) masih belum dapat dimuktamadkan, kata sumber, tidak sampai 24 jam sebelum ia dijadual diumumkan pada penghujung kongres sayap itu petang ini.
Ketika Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali merasmikan kongres sayap itu malam tadi di Shah Alam, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) masih mengira undi menentukan bakal ketua baharu AMK di ibu pejabat parti di Petaling Jaya.
Pengiraan undi itu berjalan sehingga lewat malam tadi dan akan disambung semula pagi ini, selepas Akmal Nasir mendahului pesaingnya Dr Afif Bahardin dengan majoriti tipis lebih kurang 100 undi.
Sumber dalaman PKR memberitahu The Malaysian Insight, wakil kedua-dua calon akan menyaksikan proses pengiraan undi ragu melibatkan tiga cabang iaitu Hulu Selangor dan Ampang (Selangor) dan Saratok (Sarawak).
“Keputusan Afif dan Akmal naik turun selepas buka undi ragu. Tetapi Akmal masih lagi mendahului,” kata sumber yang enggan dinamakan itu.
Semalam, The Malaysian Insight melaporkan Akmal, yang juga ahli Parlimen Johor Bahru, mendahului Adun Seberang Jaya itu lebih 200 undi.
Undi ragu bagaimanapun tidak melibatkan seorang lagi calon ketua AMK, Najwan Halimi.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, hampir semua penyokong kem Azmin menang jawatan yang dipertandingkan dalam AMK, kecuali Afif yang menjadi calon ketua AMK.
Azmin yang mempertahan jawatan timbalan presiden dicabar Naib Presiden Rafizi Ramli.
Keputusan muktamad jawatan ketua AMK dijangka diperolehi tengahari ini sementara barisan kepimpinan baharu untuk penggal 2018-2021 dijadual diumumkan pukul 6.30 petang ini. – 16 November, 2018.
Komen