SAYAP Pemuda PKR akan diterajui kem Mohamed Azmin Ali selepas kongres parti hujung minggu ini namun ketuanya nanti calon kem Rafizi Ramli yang menang jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, hampir semua penyokong Azmin menang jawatan yang dipertandingkan dalam AMK, kecuali calon ketua AMK Dr Afif Bahardin.
Sumber dalaman PKR memberitahu setakat ini Akmal mendahului Afif dengan majoriti lebih 200 undi.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu mengatasi Afif selepas baki undi lebih 1,000 di Pensiangan, Sabah selesai dikira selain undi dari cabang Julau, Sarawak.
Sumber juga memberitahu The Malaysian Insight, dua jawatan naib ketua AMK dimenangi calon kem Azmin iaitu Nazree Yunus dan Jestin Raj manakala satu lagi kerusi dimenangi penyokong Rafizi iaitu Thiban Subramaniam.
Kem Azmin turut mendominasi exco AMK apabila sekurang-kurangnya 17 calon menguasai 20 kedudukan tertinggi.
Kedudukan ini mengulangi keputusan pemilihan 2014 ketika Nik Nazmi Nik Ahmad yang tidak menyokong Azmin menang jawatan ketua AMK yang dianggotai kebanyakannya penyokong Azmin.
Calon ketua AMK yang menyokong Azmin ketika itu ialah Amirudin Shari, sekarang menteri besar Selangor.
“Akmal mendahului selepas undi dua cabang Pensiangan dan Julau lebih memihak kepada Akmal,” kata sumber yang enggan dinamakan itu.
Bagaimanapun, katanya kemenangan boleh berpihak semula kepada Adun Seberang jaya itu sekiranya 10% undi ragu yang dibuka semalam dan petang ini memihak kepadanya.
Berdasarkan kiraan akhir setakat Ahad lalu, ketika keputusan Pensiangan dan Tawau di Sabah serta Julau di Sarawak digantung, Afif mendahului dua pesaingnya dengan lebih kurang 300 undi, sehingga kemnya mengumumkan kemenangan awal.
Afif ketika itu mengumpul 16,672 undi, Akmal dapat 16,358 dan Najwan Halimi corot dengan 3,309 undi.
Regu beliau, Hilman Idham meninggalkan dua lawannya, Raymond Ahuar dan Naqiudin Nazrin dengan selesa, dengan majoriti lebih kurang 8,000 undi.
Menurut penganalisis sosiopolitik Dr Awang Azman Awang Pawi, kekalahan tipis Afif ialah selepas Najwan Halimi yang diketahui daripada kem sama memecahkan undi.
Peluang Afif menang ketua AMK lebih cerah sekiranya hanya pertembungan dua penjuru dengan Akmal, kata beliau.
“Najwan telah berjaya pecah undi. Kita tahu Najwan adalah penyokong Azmin dan kem yang sama dengan Afif. Mereka sering dilihat bersama.
“Mudah sahaja, sekiranya kem yang sama bertanding, maka penyokongnya akan terpecah dua. Walaupun tidak banyak, tetapi ia mampu gugat undi,” kata pensyarah Universiti Malaya (UM) itu.
Hilman, yang juga Adun Gombak Setia, mendapat banyak undi mengatasi Afif kerana beliau dilihat lebih rapat dengan Azmin.
“Aura dan bayang-bayang Azmin ada pada dia. Sehingga orang kata, kalau dia cakap maknanya adalah suara Azmin,” kata Awang Azman lagi.
AMK akan mengadakan kongresnya malam ini, serentak dengan sayap Wanita, yang akan dirasmikan oleh Azmin. – 15 November, 2018.
Komen