PUTRAJAYA sedang mengadakan perbincangan untuk mengetahui sama ada terdapat manfaat dalam amalan berkhatan bayi perempuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kementeriannya kini melibatkan Kementerian Kesihatan mengenai isu itu.
“Kami sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan kerana setakat ini ia sebenarnya sesuatu yang bersifat kebudayaan. Kita berdepan isu ini sejak sekian lama…kita tidak sama dengan Afrika dan amalan khatan mereka.
“Tetapi kita akan membincangkannya dan melihat sama ada ia tidak memberi manfaat, maka kita perlu melakukan sesuatu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyelar kenyataan pegawai kerajaan di Universal Periodic Review (UPR) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa amalan bersunat dalam kalangan bayi wanita sebagai sebahagian kewajiban budaya.
Pengerusinya, Razali Ismail berkata kenyataan daripada wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sebagai tidak meyakinkan dan mengelirukan.
Wakil itu berkata Malaysia membantah membantah sebarang amalan yang memberi kesan buruk kepada bayi perempuan dan kanak-kanak.
“Malaysia tidak mengamalkan mutilasi alat kelamin wanita, tetapi amalan berkhatan perempuan terhadap bayi dibenarkan kerana ia adalah sebahagian daripada kewajipan budaya,” kata pegawai itu ketika menjawab pertanyaan daripada beberapa negara ketika UPR Malaysia di Switzerland. – 15 November, 2018.
Komen