Suhakam selar jawapan 'mengelirukan' berhubung isu berkhatan wanita 


The Universal Periodic Review of Malaysia di Geneva, Switzerland, minggu lalu disiarkan secara langsung di mana pegawai Malaysia akan menjawab sebarang soalan mengenai amalan hak asasi manusia di negara ini.– Gambar EPA, 14 November, 2018

PUTRAJAYA didakwa memberi penjelasan yang tidak meyakinkan dan mengelirukan dalam Universal Periodic Review (UPR) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai amalan berkhatan bagi wanita di negara ini. 

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini berkata, wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berbuat demikian ketika mempertahankan amalan itu di hadaoan Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva Switzerland minggu lalu. 

Tambah Suhakam, langkah itu berpotensi membawa kerosakan kepada pendirian antarabangsa negara dalam isu hak asasi wanita.

“Suhakam kurang senang dengan maklum balas yang tidak meyakinkan dan mengelirukan yang cuba disampaikan wakil berkenaan,” kata ketua pesuruhjayanya Razali Ismail dalam satu kenyataan. 

Pada sesi UPR itu, wakil dari kementerian terbabit berkata, amalan berkhatan wanita merupakan sebahagian daripada budaya Malaysia. 

Pegawai berkenaan berkata mutilasi alat kelamin wanita (FGM) tidak diamalkan di Malaysia, berkhatan hanya melibatkan bayi kerana amalan budaya. 

“Malaysia membantah sebarang amalan yag memberi kesan buruk kepada bayi perempuan dan kanak-kanak. 

“Malaysia tidak mengamalkan mutilasi alat kelamin wanita, tetapi amalan berkhatan perempuan terhadap bayi dibenarkan kerana ia adalah sebahagian daripada kewajipan budaya,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada beberapa negara ketika Universal Periodic Review (UPR) Malaysia di Switzerland.

Beliau terus mengatakan bahawa berkhatan wanita yang dilakukan pada bayi tidak berbahaya dan hanya sedikit sahaja.

“Amalan berkhatan yang diamalkan adalah ringan dan tidak melibatkan sebarang pemotongan,” kata wakil berkenaan. 

Menurut Suhakam, pegawai kerajaan perlu dilatih dengan baik berhubung hak asasi manusia terutamanya sebelum mewakili negara di Majlis Hak Asasi Manusia. 

“Kedudukan kementerian yang tidak tepat dalam menyifatkan FGM sebagai budaya Malaysia berpotensi mencemar pendirian antarabangsa Malaysia berhubung hak asasi wanita.”

Ini terutama sekali apabila Malaysia telah dikritik hebat oleh ahli-ahli jawatankuasa dari negara-negara Islam pada sesi ke-69 Konvensyen berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) kerana membenarkan amalan FGM, tambah suruhanjaya itu. – 14 November, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen