Polis patutnya jaga keselamatan, bukan penganjur, kata Pemuda DAP


Diyana Ibrahim

Forum “Nothing to Hide 2.0” bertukar kecoh ketika Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan mengenai insiden Memali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2017.

PEMUDA DAP hari ini membidas kenyataan ketua polis negara dan berkata polis yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keselamatan dan peranan itu bukan hanya terletak kepada penganjur majlis.

Ketua Belia Sosialis DAPSY Kebangsaan Wong Kah Wong berkata sebagai Khalid Abu Bakar sebagai ketua polis seharusnya tidak menuding jari tanpa menunggu hasil siasatan rasmi berhubung kekecohan yang berlaku pada forum “Nothing to Hide 2.0” anjuran Pemuda Bersatu pada Ahad lalu.

“Tugas polis untuk memastikan keselamatan orang awam ketika keseluruhan program. Perkara pertama yang mereka kena lakukan ialah menyiasat siapa yang memulakan kekecohan itu.

“Jangan tuding jadi untuk alihkan isu. Dakwaan itu tidak adil kerana tidak ada pihak penganjur yang mahukan insiden keganasan berlaku dalam acara mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur.

Awal hari ini, Khalid pada sidang medianya berkata pihak penganjur perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden keganasan yang berlaku dalam forum “Nothing to Hide 2.0”.

Sementara itu, Setiausaha DAPYS Howard Lee menyelar Khalid yang mengeluarkan kenyataan bodoh dan tidak berasas dengan menyalahkan penganjur, bukannya mencari siapa mengupah suspek melakukan perbuatan provokatif itu.

“Khalid sepatutnya menyiasat terlebih dulu dan bukannya menjatuhkan hukuman sebelum siasatan dikeluarkan.

“Yang jatuh hukuman itu kerja hakim di mahkamah, jadi tugas dia untuk membantu siasatan.

“Kenyataan beliau langsung tak masuk akal,” katanya, menambah penganjur melakukan tugas dengan baik dalam memastikan keselamatan orang ramai terjamin ketika kekecohan berlaku.

DAP turut menghantar unit tindakan seramai 40 orang ke forum yang diadakan di Shah Alam itu.

Ketua Unit Tindakan DAP Eddie Ng berkata beliau bimbang insiden itu akan dijadikan alasan oleh pihak polis untuk menolak penganjuran forum dalam masa akan datang.

Polis setakat ini menahan 13 suspek yang dipercayai terlibat mencetuskan kekacauan pada forum itu. Mereka disiasat kerana merusuh dan menggunakan senjata berbahaya.

Siasatan awal mendedahkan beberapa remaja yang terlibat dibayar RM50 untuk memulakan kekacauan pada forum anjuran Bersatu itu, dengan membaling kasut dan membakar suar ke pentas tempat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berucap.

Dalam kekecohan itu, mereka juga kemudiannya membaling kerusi ke arah hadirin.

Pemimpin PH menyalahkan Umno manakala pegawai kanan perdana menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menuduh Dr Mahathir punca kekacauan.

Forum “Nothing to Hide 2.0” merupakan program soal jawab mengenai skandal pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

Bagaimanapun Najib tidak muncul dalam acara tersebut, dan hanya Dr Mahathir yang menjawab kesemua soalan itu.

Kekecohan mula tercetus apabila Dr Mahathir menjawab soalan mengenai insiden Memali apabila ada peserta yang mula bertindak membaling selipar, kasut, botol air dan melepaskan suar di dalam dewan. – 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen