Minta 7 dapat 5, SPRM mungkin mohon lanjutan reman Isa Samad


Noel Achariam

Isa Samad tiba di perkarangan mahkamah di Putrajaya kira-kira 9 pagi dengan mengenakan baju-T lokap SPRM berwarna jingga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Ogos, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman ke atas Isa Samad selepas mahkamah hanya membenarkan lima hari, kata peguamnya.

Peguam K Kumarendran berkata SPRM sebelum itu memohon perintah tahanan reman untuk tujuh hari.

SPRM memaklumkan pihaknya siasatan itu kini sudah hampir selesai tetapi mereka memerlukan Isa direman untuk menyemak beberapa dokumen.

“Mereka kata mereka mahukan Isa kerana mereka hendak dia semak dokumen yang mereka ada dan sekiranya dia dibebaskan, ia akan menjejaskan siasatan.

“SPRM bagaimanapun kata mereka akan memohon untuk melanjutkan tempoh reman,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Majistret Putrajaya.

Perintah reman dikeluarkan oleh ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan Zainal Abidin Kamarudin.

Bekas pengerusi FGV itu tiba di perkarangan mahkamah itu kira-kira pukul 9 pagi dengan mengenakan baju-T lokap SPRM berwarna jingga.

Kumarendran sebelum itu meminta mahkamah membebaskan Isa dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri, tidak akan mengganggu saksi atau memusnahkan sebarang bukti.

“Kita minta beliau ditahan di hospital kerana beliau ada masalah jantung. Kita juga serahkan satu laporan pakar perubatan untuk menyokong permohonan.

“Pihak pendakwa bagaimanapun memberi jaminan Isa akan diberikan rawatan sewajarnya dan jika perlu akan dihantar ke IJN,” katanya.

Isa diwakili oleh empat peguam termasuk Dev Kumaraendran, N. Sivananthan dan Ridha Abdah Subry. Pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

SPRM memohon untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadap Isa susulan siasatannya terhadap pembelian dua hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Isa ditahan ketika hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merekodkan keterangannya jam 2.40 petang semalam.

SPRM pada masa ini sedang menyiasat pembelian hartanah oleh FIC di Kensington, London antara 20133 dan 2015 dengan jumlah £60 juta (RM330 juta), sedangkan harga pasaran pada masa pembelian dikatakan RM110 juta.

Malam semalam, SPRM turut menjalankan pemeriksaan di rumah Isa di Selangor dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata ia proses biasa yang dilakukan agensi itu selepas menahan seseorang individu berhubung dakwaan rasuah.

SPRM bulan lalu mula membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Selepas itu, SPRM menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, juga dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu kerugian besar.

Isa meletakkan jawatan di FGV sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dua bulan lalu. – 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen