Bukan Bersatu saja, Umno juga tarik ramai anak muda, kata Salleh Keruak


Nabihah Hamid

UMNO ada sokongan daripada anak muda, sama seperti parti politik lain, dan sambutan meriah generasi muda bukan pengalaman eksklusif mana-mana parti, kata bendaharinya Salleh Said Keruak.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata mana-mana parti boleh mendabik dada mengatakan mereka dapat sokongan daripada anak muda namun hakikatnya semua parti politik berjaya menarik sokongan golongan itu dengan kekuatan masing-masing.

Beliau mengulas laporan keahlian Bersatu – parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad – yang dapat menarik anak muda biarpun relatifnya diterajui oleh pimpinan yang sudah lanjut usia.

“Pada saya itu adalah dakwaan politik. Kita dalam Umno juga ramai anak-anak muda dengan kita, begitu juga PAS dan yang lain.

“Anak muda ini bukanlah monopoli mana-mana parti politik. Mereka ada hak menentukan parti mana pilihan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Salleh, apa yang lebih penting ialah setiap parti politik mengamalkan politik sihat dalam persaingan mendapatkan sokongan dan pengarah dalam kalangan rakyat.

“Kita harus beri peluang pada pengundi kita membuat perbandingan antara tiga kumpulan parti di Malaysia ini,” katanya, merujuk kepada BN, Pakatan Harapan dan PAS. – 16, Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen