Walaupun dipimpin 'orang tua', Bersatu berjaya tarik anak muda


Amin Iskandar

Gandingan 3M, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz berjaya menarik golongan muda menyertai Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.

BAGI sebuah parti yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad yang berusia 92 tahun dan Muhyiddin Yassin, 70, sebagai presiden, Bersatu memeranjatkan kerana berjaya menarik penyertaan ramai anak muda.

Parti yang akan menyambut ulang tahun pertamanya bulan ini sudah mempunyai lebih 200,000 ahli dan 55% daripadanya terdiri daripada golongan muda.

Karisma dan pembangunan yang dibawa Dr Mahathir di Malaysia semasa jadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003 antara “magnet” yang menarik golongan muda menyertai Bersatu.

Abdul Mutalib Hasan, 26, bekas ahli Umno, menyertai Bersatu kerana merasakan parti itu sebagai landasan untuk memperjuangkan kebenaran.

“Saya ahli Umno dahulu tetapi sekarang dilihat parti Umno hanya menolong Presiden Najib Razak dan pemimpin mereka sahaja.

“Rakyat? Anak muda? Mereka hanya akan cari empat tahun sekali,” kata Mutalib kepada The Malaysian Insight.

Graduan institut pengajian tinggi awam yang bekerja sebagai jurutera itu berkata, gandingan 3M (Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz) antara faktor yang menarik beliau menyertai Bersatu.

“Mukhriz Mahathir ketika menjawat jawatan menteri besar Kedah dilihat sebagai ‘yang bekerja’.

“Banyak idea tercetus antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan lain-lain lagi. Pemimpin sebeginilah yang anak muda perlukan,” katanya merujuk kepada timbalan presiden Bersatu.

Muhamad Hanif Abdul Latif, 34, dari Kedah pula tertarik dengan Bersatu kerana parti itu memberikan peluang kepada golongan muda untuk bersuara dan berdikari.

“Di samping itu golongan muda mendapat peluang tunjuk ajar daripada pemimpin-pemimpin senior dalam Bersatu yang sudah lama berkecimpung dalam politik,” katanya yang bekerja di sebuah kilang sebagai jurutera elektrik.

Sebelum ini, Hanif tidak pernah menyertai mana-mana parti politik tetapi kini menyertai Bersatu kerana ingin memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Sementara Mohd Iqbal Amel Hamzah, 27, merasakan Bersatu ada keunikannya tersendiri dan dilihat “suci dan ikhlas”.

“Dua pemimpin utama Bersatu dibuang daripada kerajaan kerana memperjuangkan nasib rakyat,” katanya merujuk kepada Muhyiddin dan Mukhriz yang dibuang daripada pentadbiran Najib kerana mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apa lagi alasan untuk saya tidak sertai Bersatu?”

Peluang memimpin

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir tertarik dengan keterbukaan Bersatu yang sentiasa mendengar pandangan golongan muda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Ogos, 2017.

Selain daripada menarik golongan muda menyertai mereka, Bersatu turut memberikan peluang kepada golongan muda untuk memainkan peranan besar dalam parti itu.

Contohnya Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, 31, yang berkhidmat sepenuh masa dengan Bersatu sebagai setiausaha kerja dan exco Armada – sayap Pemuda parti itu.

“Majlis pimpinan tertinggi (MPT) adalah ‘supreme council’, dalam parti lain tak ramai anak muda berpeluang duduk dalam majlis tertinggi.

“Tapi dalam Bersatu kita ada beberapa nama, Syed Saddiq Abdul Rahman selaku ketua Pemuda, Ulya Aqamah Husamudin, Mohd Rafiq Naizamohideen dan Dr Muhammad Faiz Na’aman, semuanya di bawah 35 tahun,” kata Ashraf kepada The Malaysian Insight.

Bekas anggota Biro Profesional Muda Umno Kedah itu tidak menyesal meninggalkan parti lamanya kerana menganggap perjuangan mereka sudah tersasar.

“Umno asyik bercakap tentang peremajaan parti dalam tempoh lima tahun yang lalu. Setiap tahun masa perhimpunan agung, itulah retoriknya.

“Orang Umno sendiri tahu Umno tak cukup ‘remaja’ dan tidak menepati citarasa anak muda sekarang,” katanya yang meninggalkan kerjayanya sebagai wartawan dan jurufoto untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.

Sementara Fatin Fariza Abdul Halim, 28, yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini tertarik dengan Bersatu kerana kesungguhan parti itu untuk menyingkirkan Najib.

“Secara jujurnya sebelum ini saya agak pro kepada PKR, tetapi tak menyertai PKR sebagai ahli. Tidak terlintas untuk menyertai mana-mana parti sebelum ini,” kata akauntan yang bekerja dengan syarikat swasta itu.

“Semestinya yang membakar semangat semua orang menyertai Bersatu ialah untuk menukar perdana menteri sedia ada kepada yang lebih baik.”

Fatin berkata, Bersatu berbeza dengan parti politik lain di Malaysia kerana peluang yang diberikan kepada golongan muda.

“Contohnya macam sekarang saya sendiri merupakan exco Srikandi paling muda di Malaysia. Dan ketua Srikandi paling muda dalam Malaysia,” kata exco sayap Wanita Bersatu itu yang juga merupakan ketua Srikandi Bahagian Segambut.

“Seperti ketua bahagian saya di Segambut, Mahathir Mohd Rais, beliau ketua bahagian paling muda di Malaysia. Lebih muda daripada saya. Ketua bahagian saya berumur 27 tahun. Akan tetapi dia boleh memimpin dan menggerakkan satu bahagian.” – 15 Ogos, 2017.

Fatin Fariza Abdul Halim ingin bersama Bersatu mencipta sejarah dalam menukar kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen