Permohonan Ali Tinju masuk Bersatu mungkin ditolak, kata Muhyiddin


Bede Hong

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata permohonan orang yang mempunyai karakter meragukan untuk masuk Bersatu akan ditolak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2018.

VETERAN dan pemimpin akar umbi Umno, Mohd Ali Baharom yang juga dikenali ramai sebagai Ali Tinju berkemungkinan besar tidak akan diterima masuk Bersatu kerana parti itu tidak akan mengambil pemimpin yang karakternya “dipersoalkan”, kata Presiden Muhyiddin Yassin hari ini.

Ali dilaporkan berkata hari ini yang beliau sekarang adalah penyokong Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad kerana sudah hilang percaya dengan kepimpinan Umno susulan skandal korupsi melibatkan pemimpinnya.

Beliau menghantar boring permohonan kepada Ketua Bersatu Bahagian Bandar Tun Razak Shahni Ismail.

Muhyiddin walaupun mengesahkan parti itu menerima permohonan Ali, berkata parti akan memutuskan sama ada beliau layak menjadi ahli atau tidak.

“Parti kita ada prinsip dan kami akan menerima mereka yang kami fikir berpegang kepada perjuangan parti. Orang itu juga tidak boleh ada rekod buruk,” kata Muhyiddin.

“Bukan semua permohonan akan diterima secara automatik. Jika kami rasa dia (pemohon) adalah orang yang karakternya buruk, kami akan tolak permohonan.

“Ada banyak kisah buruk dikaitkan dengan Ali Tinju. Liputan media terhadapnya juga tak berapa baik. Mungkin sama macam Jamal (Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos).

“Janganlah harap kami terima orang begitu.”

Ali menjadi tumpuan awam pada 2012 selepas mengetahui bantahan “senaman punggung” di rumah bekas pengerusi bersama Bersih Ambiga Sreenevasan bagi memberi amaran supaya tidak meneruskan perarakan Bersih ketiga pada 2012.

Tiga tahun kemudian, beliau didakwa kerana mengeluarkan kenyataan menghasut ketika protes di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Kes itu kemudiannya digugurkan kerana kekurangan bukti.

Setahun selepas itu, beliau mengetuai perarakan menentang perarakan Tangkap MO1 yang menuntut supaya Najib Razak ditangkap. Ali juga dituduh membuat ugutan bunuh terhadap Maria Chin Abdullah yang ketika itu pengerusi Bersih.

Menteri dalam negeri ketika itu Ahmad Zahid Hamidi mengklasifikasikan kes ugutan bunuh itu sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

Ali hari ini dilaporkan berkata yang tindakannya sebelum ini hanya menurut arahan orang atasan.

“Saya masuk Bersatu atas usaha saya sendiri. Saya bukan ada jawatan dalam Umno, jadi saya cuma ikut arahan pemimpin.” – 12 November, 2018.

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/110725


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen