Ali Tinju mahu masuk Bersatu, lapor media


MOHD Ali Baharom atau Ali Tinju, yang kuat menyokong Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, menyerahkan borang untuk jadi ahli Bersatu, lapor portal berita Free Malaysia Today.

Bekas tentera itu selalu dikenang sebagai orang yang mengetuai protes anti Bersih 2.0 kerana membuat “senaman punggung” di luar rumah bekas pengerusi badan itu pada masa itu, Ambiga Sreenevasan pada 2012.

Portal berita itu memetik Ali berkata, beliau sekarang sudah berubah menyokong Dr Mahathir Mohamad.

“Saya masuk Bersatu atas usaha saya sendiri. Saya bukan ada jawatan dalam Umno, jadi saya cuma ikut arahan pemimpin,” katanya seperti dipetik FMT.

Sementara itu, portal berita Malaysia Gazette melaporkan, Ali menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Bahagian Bersatu Bandar Tun Razak Mohd Shahni Ismail.

Menurut Ali, beliau sudah hilang kepercayaan pada kepimpinan Umno susulan skandal rasuah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Semasa jadi penyokong Umno sebelum PRU14, Ali pernah mengetuai tunjuk perasaan Gerakan Baju Merah sebagai menentang rapat umum anjuran Bersih.

Beliau juga pernah membuat pengumuman bahawa beliau panglima kepada Najib dan sanggup mempertahankan bekas presiden Umno itu.

Pada 2015, Ali pernah ditahan untuk siasatan di bawah Akta Hasutan kerana menyebarkan kenyataan berbaur ancaman kaum.

Beliau juga pernah beberapa kali mencetuskan kekecohan termasuk semasa penganjuran dialog Nothing To Hide di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jun 2015 yang bagaimanapun tidak dihadiri oleh Najib.

Minggu lalu, Dr Mahathir berkata pemimpin dan ahli Umno yang mahu menyertai Bersatu mesti meninggal perangai buruk dalam parti lama itu dan menyokong perjuangan parti baru.

“Mereka perlu buktikan mereka tidak lagi terikat dengan Umno. Mereka mesti sokong tindakan yang baik yang dilakukan oleh Bersatu, dan apabila kami rasa senang dengan kelakuan mereka, maka kita akan terima mereka,” katanya dalam satu rakaman video Jumaat lalu. – 12 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Menangguk di air keroh..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Azizan Mohamed · Ulasan

  • Lalang detected.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Z Azmyl · Ulasan