JAWATANKUASA Pemilihan Pusat (JPP) PKR punyai kuasa penuh untuk menentukan pemilihan bagi cabang Julau, Sarawak, kata presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata JPP boleh memutuskan sama ada mahu membuat pemilihan baharu atau menerima hasil undian yang telah berlangsung.
“Saya menunggu apa sahaja keputusan oleh JPP sama ada nak buat pemilihan semula atau tidak dan kita teruskan atau tidak.
“Saya lihat ia sebagai satu tanda bahawa PKR mahu pemilihan itu dibuat secara bebas,” katanya mengulas ada kemungkinan pemilihan Julau pada Rabu ini selepas melancarkan Kejohanan Badminton Pasukan Campuran Bawah 15 Tahun Pertama Asia di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambanya, JPP juga disarankan untuk menyemak semula keputusan pemilihan di cabang itu kerana dakwaan kepincangan yang berlaku pada Sabtu.
Ia susulan dakwaan serangan siber dan terbaharu, tindakan laporan PKR negeri itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ada usaha membeli undi secara terang-terangan.
JPP sebelum ini mengesahkan kepada The Malaysian Insight pihaknya sedang pertimbangkan untuk mengadakan pemilihan semula.
“Kita masih belum buat keputusan sama ada akan mengadakan pemilihan semula. Tablet masih ada pada pihak polis.
“Pensiangan ada lagi keputusan bagi 1,000 lebih undi yang belum (dikira). Jadi, belum muktamad keputusan,” kata pengarahnya Rashid Din. – 12 November, 2018.
Komen