SELEPAS menolak tawaran penyelesaian, Sultanah Terengganu akan memfailkan saman fitnah terhadap Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu depan.
Peguam yang mewakili Sultanah Nur Zahirah pada mulanya bercadang memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu tetapi akhirnya memutuskan sebaliknya.
“Itu lebih baik. Jika kami memfailkannya di Terengganu, orang akan mula bercakap, mengatakan ini dan itu,” kata ketua pasukan peguam, Mohd Haaziq Pillay Abdullah.
“Tambahan pula, defendan berada di Kuala Lumpur,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas bertemu sultanah hari ini.
Sultanah Nur Zahirah menyaman Rewcastle-Brown kerana mendakwanya berkomplot dengan ahli perniagaan Low Taek Jho dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan berbilion dolar.
Dakwaan itu dibuat dalam buku Rewcastle-Brown “The Sarawak Report: The Inside Story of 1MDB Exposé” yang dilancarkan pada September.
Saman itu juga akan menamakan penerbit Gerakbudaya, serta pencetak Vinlin Press, sebagai defendan.
Sultanah menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta daripada setiap pihak melainkan mereka mengeluarkan permintaan maaf bertulis, penarikan balik awam yang jelas dan akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan itu.
Peguamnya menolak tawaran penyelesaian daripada semua pihak terbabit bulan lalu, mengatakan mereka gagal memenuhi kriteria permohonan maaf tidak memadai.
Saman itu memberi tumpuan kepada satu perenggan di muka surat tiga buku Rewcastle-Brown yang mendakwa Low mendapat sokongan sultanah untuk mendapatkan kedudukan sebagai penasihat rasmi dalam 1MDB.
1MDB dahulunya dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sebelum ditukar nama pada 2009 di bawah pentadbiran Najib Razak.
Rewcastle-Brown menggambarkan penukaran TIA kepada 1MDB bertujuan mengalihkan pendapatan minyak Terengganu kepada “entiti yang dikawal persekutuan”.
Sultanah menafikan bertemu Low atau menyokongnya bagi mendapatkan jawatan sebagai penasihat di TIA atau 1MDB.
Beliau juga menafikan terlibat dalam sama ada organisasi dan terlibat dalam urusan hal ehwal kerajaan.
Rewcastle-Brown berkata di laman sesawang Sarawak Report bahawa beliau meminta maaf sekiranya sultanah “marah dengan salah tafsiran makna kami”.
Beliau berkata tidak mencadangkan sultanah terlibat “dalam konspirasi” dengan Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, atau sultanah dalam sebarang cara berkaitan dengan TIA.
“Kami maklum tentang hubungan antara Jho Low dan keluarga diraja Terengganu adalah lebih rapat dengan kakak kepada sultan, dengan siapa Jho berurusan dalam perniagaan, dan suaminya,” kata Rewcastle-Brown. – 9 November, 2018.
Komen