KONTRAKTOR Bumiputera mahu Putrajaya melibatkan mereka dalam projek pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), kata wakilnya hari ini.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion berkata sekarang ini tiada ruang untuk mereka bertapak dalam projek RM55 bilion yang didukung oleh dana dan kepakaran dari China.
“Sekarang ini kita (kontraktor Bumiputera) tidak diiktiraf dalam projek ECRL, jadi saya rasa kita ini tidak akan ada peluang.
“Saya menyeru kerajaan supaya memasukkan kami dalam pembinaan ECRL kerana ia projek yang bernilai RM55 bilion. Malah kalau dapat RM1 bilion pun itu sudah memadai bagi kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tukiman menambah sekiranya kerajaan bercadang mahu menyertakan kontraktor tempatan dalam pembangunan projek itu, mereka sepatutnya sudah dimaklumkan mengenainya tetapi sampai sekarang apa pun belum ada.
“Ini bukan saja soal kontraktor bumiputera tetapi saya rasa kontraktor tempatan pun tidak diberi peluang terlibat dalam projek ini.
“Tidak ada peluang. Tidak ada cadangan atau peluang kepada kontraktor tempatan,” katanya.
Tukiman turut berharap syarikat tempatan yang mengendalikan projek berskala besar membuka pintu kepada kontraktor kecil-kecilan untuk ikut sama terlibat.
“Itu saja yang kami mahu,” katanya.
Landasan sepanjang 688 kilometer itu akan jadi landasan rel terpanjang di Malaysia. Ia bakal menghubungkan Gombak di Selangor dengan Kota Bharu di Kelantan dalam masa empat jam. Perdana Menteri Najib Razak pada majlis pelancarannya 9 Ogos lalu menyebut projek itu sebagai “pencetus perubahan” bagi negara.
ECRL akan dibina oleh syarikat dari republik itu, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dengan 85% daripada projek dibiayai melalui pinjaman mudah 3.25% daripada China Exim Bank, dengan tempoh moratorium tujuh tahun sementara 15% lagi dibiayai melalui program sukuk yang diuruskan bank pelaburan tempatan.
Najib juga berkata ia akan melibatkan sekurang-kurangnya 30% kontraktor Malaysia.
“Saya menggesa kontraktor tempatan dengan keupayaan dan pengetahuan mereka supaya merebut peluang ini dan menyertai projek penting ini yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya pada majlis pelancaran itu.
Projek itu dan majlis pelancarannya bagaimana dikritik oleh pertubuhan pembela hak Melayu, Perkasa yang mendakwa perkakas binaan semuanya dibawa dari China dan majlis pelancarannya tidak menonjolkan budaya Malaysia.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh beberapa pihak yang hadir dengan mengatakan ucapan perdana menteri pada majlis itu dibuat dalam Bahasa Melayu serta menampilkan identiti budaya Malaysia. – 15 Ogos, 2017.
Komen