PERDANA Menteri Najib Razak hari ini menyifatkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana paling utama ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.
Beliau berkata perjalanan kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang daripada empat jam berbanding purata lapan jam malahan hingga 12 jam atau lebih semasa musim perayaan, menjadikan ECRL medium pengangkutan pilihan yang lebih selesa sebaik ia siap dibina.
“Projek ECRL juga akan menentukan rentak kesan limpahan ekonomi dan impak sosial yang positif bagi negeri di pantai timur.
“Ia akan menjadi pemangkin bagi kesaksamaan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur kerana akan turut merangsang pelaburan, menggalakkan kegiatan komersial, mewujudkan pekerjaan yang mencukupi, memudahkan pendidikan berkualiti dan merancakkan industri pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.
Najib berkata demikian dalam ucaptama pada majlis pecah tanah projek ECRL di tapak projek KotaSas Sentral di Kuantan hari ini. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai dan tiga menteri besar negeri pantai timur Adnan Yaakob (Pahang), Ahmad Razif Abdul Rahman (Terengganu) dan Ahmad Yakob (Kelantan).
Najib berkata ECRL akan menjadi projek laluan rel negara paling panjang sejauh 688km dengan kos berjumlah RM55 bilion dan akan dibina CCCC, yang merupakan satu daripada kumpulan infrastruktur pengangkutan ternama dan tersenarai sebagai kontraktor antarabangsa ketiga paling terkemuka di dunia sementara MRL sebagai pemilik projek.
Katanya, Malaysia turut mendapat syarat pembiayaan menarik untuk ECRL dengan 85% daripada projek itu dibiayai melalui pinjaman mudah 3.25% daripada China Exim Bank, dengan tempoh moratorium tujuh tahun sementara 15% lagi dibiayai melalui program sukuk yang diuruskan bank pelaburan tempatan.
Najib berkata kerajaan menggariskan kepentingan Malaysia dalam projek itu termasuk menerusi satu perjanjian dengan China sekurang-kurangnya 30% kontraktor Malaysia akan terlibat dalam projek berimpak tinggi ini sementara program latihan industri ECRL yang dilancarkan 14 Jun, akan memberikan peluang kepada pelajar Malaysia menimba kemahiran bekerja dengan ECRL.
“Saya menggesa kontraktor tempatan dengan keupayaan dan pengetahuan mereka supaya merebut peluang ini dan menyertai projek penting ini yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Kita merancang untuk melibatkan 3,600 pelajar Malaysia di bawah program latihan yang memberi peluang mereka dilatih mengikut sukatan pelajaran yang disediakan dua universiti terkemuka China dan sembilan institut pendidikan tinggi Malaysia,” katanya.
“Pelajar yang menamatkan latihan akan secara automatik ditawarkan pekerjaan oleh MRL, pemilik projek dan CCCC sebagai kontraktor utama atau subkontraktor mereka,” katanya.
Najib berkata penjajaran ECRL akan turut menggalakkan pembangunan kawasan perindustrian dan trend pertumbuhan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang akan membangunkan daerah kediaman padat dan pusat komersial di sepanjang stesen kereta api dan secara langsung memberi manfaat kepada bandar utama yang dikenal pasti sebagai stesen utama projek ini.
Beliau menyebut contoh ECRL yang akan menghubungkan kawasan perindustrian ekonomi utama seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Halal Gambang di Pahang, Taman Biopolimer Kertih (Terengganu) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (Kelantan).
“Saya ingin menekankan projek ECRL berpaksikan rakyat. Kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi negeri pantai timur akan tumbuh pada kadar 1.5% sekarang dengan pelaksanaan projek ini.
“Daya maju ECRL tidak boleh dipertikaikan kerana dianggarkan 5.4 juta penumpang dan 53 juta tan kargo akan menggunakan perkhidmatan itu setahun menjelang 2030 sebagai pengangkutan utama antara pantai timur dan barat.
“Pendapatan daripada operasi ECRL diunjurkan akan didapatkan melalui nisbah pengangkutan 30% penumpang dan 70% barang,” katanya.
Perdana menteri juga menganggap pembangunan ECRL sebagai tepat pada masanya selaras dengan pembesaran Pelabuhan Kuantan sekarang untuk menjadi terminal laut dalam yang tidak lama lagi akan mampu menampung kemasukan kapal lebih besar sehingga 200,000 tan berat muatan atau kapal yang boleh membawa 18,000 unit dua puluh kaki kontena.
Sehubungan itu, dengan pelbagai kelebihan yang dapat dimanfaatkan daripada ECRL, Najib berkata kesal terhadap sesetengah pihak yang cuba menjejaskan projek ECRL ini dan beliau memberi jaminan kerajaan akan memastikan ECRL berjaya siap menjelang 2024 seperti dijanjikan.
“Kepimpinan pusat turut berbesar hati dengan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor atas kerjasama penuh mereka serta sokongan terhadap projek ini, terutama dalam perkara berkaitan pemilikan tanah yang amat penting kepada pembinaan rangkaian laluan rel baharu ini.
“Perjalanan sudah bermula dan ECRL setelah siap akan membawa kita ke arah pencapaian aspirasi negara. Saya memohon sokongan, kerjasama, pengetahuan dan kepakaran bersama semua pihak berkepentingan dalam ECRL bagi memastikan penyampaian lancar dan berjaya projek rel ini, “ katanya. – Bernama, 9 Ogos, 2017.
Komen