KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) perlu pertimbang untuk mengagihkan pemusatan kuasanya sejajar dengan semangat federalisme (fahaman Persekutuan) dan Perlembagaan sebenar, kata Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Baru-baru ini, rakyat Malaysia menunjukkan kepada dunia mereka mahu negara ini menjadi demokrasi yang lebih baik.
“Saya berharap kerajaan Persekutuan yang baharu akan bekerja dengan kerajaan negeri dan mempertimbang isu-isu berkenaan pengagihan kuasa pusat serta menganjurkan autonomi kepada negeri-negeri.
“Ini sejajar dengan semangat sebenar Perlembagaan,” Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkata.
Beliau berucap pada majlis pelancaran buku tulisan bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Mohd Yunus, “Celebrating Judicial Independence”, di Kuala Lumpur hari ini.
Tuanku Muhriz berkata walaupun negara ditubuhkan sebagai persekutuan, ia telah dikenali sebagai “persekutuan yang paling terpusat”.
Mengenai kerjaya Hishamudin, beliau berkata bekas hakim itu merupakan “seorang hakim yang menjunjung dan menghormati etika kehakiman.”
“Walaupun menjadi hakim semasa beberapa tahun yang sukar dalam institusi kehakiman, beliau berkhidmat dengan integriti.”
Kemerdekaan adalah jiwa bagi institusi kehakiman, dan hakim perlulah berpegang teguh kepadanya, tambah Tuanku Muhriz. – 8 November, 2018.
Komen