UMNO tidak perlu meminggirkan Najib Razak sebaliknya bekas presiden Umno itu sendiri sekarang sudah menjarakkan dirinya sendiri supaya parti tidak dikaitkan dengan kes mahkamah yang sedang beliau hadapi, kata pemimpin akar umbi.
Menurut mereka, Umno sebaliknya patut mengatasi masalah kepimpinan dan menentukan hala tujunya daripada sibuk menghiraukan tentang Najib.
Bekas perdana menteri itu, yang kini berdepan 38 pertuduhan jenayah terkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sejak kebelakangan ini lantang di Parlimen dan di platform media sosial mengkritik kerajaan atau menjawab kritikan terhadapnya.
Sabtu lalu, Najib mengadakan program sembang santai bersama lebih 1,000 rakan media sosialnya dan menjawab “fitnah” yang katanya dilemparkan terhadap beliau oleh Pakatan Harapan.
Ketua Umno cawangan Sri Labuan Zaharin Mohd Yasin, yang dulu lantang mengkritik Najib, berkata pemimpin Umno tidak perlu memberi reaksi balas terhadap apa yang dilakukan oleh Najib.
“Najib bukan lagi penyebab (masalah Umno sekarang) sebab dia sudah dihukum oleh rakyat. Najib tidak pernah bercakap bagi pihak Umno kecuali ketika berada di Pekan sebab dia ketua Umno Bahagian Pekan.
“Barang siapa yang masih berkata mengenai Najib, itu yang menghantui mereka sebab mereka sendiri tidak berdaya untuk melakukan apa yang Najib lakukan ketika ini.
“Sepatutnya kalau sudah tidak suka, tidak payah ulaslah. Jika tidak dapat menyokong, biarkan saja Najib itu. Kalau dia sentuh Umno baru lawan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Najib kelmarin menjelaskan beliau sekarang bukan berkempen untuk sekali lagi jadi presiden Umno atau perdana menteri apabila membuat penerangan kepada rakyat mengenai isu semasa.
“Saya minta maaf sekiranya majlis itu membawa kepada persepsi atau kesimpulan yang tidak diinginkan,” katanya, merujuk pada acara sembang santai bersama rakan-rakan media sosialnya di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Sementara itu, Bendahari Umno Johor Md Jais Sarday berkata masalah Umno sekarang bukannya Najib tetapi hala tuju parti itu selepas presiden barunya Ahmad Zahid Hamidi berdepan 45 tuduhan jenayah melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
“Masalah dengan Umno sekarang ini, selepas perhimpunan agung pun masih tidak ada hala tuju,” katanya.
“Zahid kini menjelajah ke negeri-negeri tetapi hanya menjelaskan kes mahkamah beliau dan tidak akan tunduk dengan desakan Pemuda supaya beliau berehat. Ke mana Umno mahu dibawa, kita pun tidak tahu.
“Umno ketika ini tidak mempunyai kepimpinan. Ibarat enjin sudah dihidupkan, tetapi tidak tahu hendak memandu ke mana. Jika enjin terlalu panas, boleh terbakar atau meletup,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga melihat langkah Najib yang tidak melibatkan Umno dalam segala tindakannya mula meraih perhatian ketika parti semakin tidak bermaya selepas pemilihan kepimpinan Jun lalu.
“Dengan pengalaman yang ada sebagai bekas perdana menteri, Najib melakukan tugas dengan baik menjelaskan persoalan dasar yang dibuatnya dulu dan mengkritik dasar-dasar kerajaan sekarang.
“Najib melakukan semua ini atas kapasitinya sebagai individu. Beliau tidak mengheret Umno. Umno perlu menghargai apa yang dilakukan oleh Najib,” kata Jais.
Dawi Bakri, 57, ahli Umno Bahagian Rasah, memberitahu The Malaysian Insight beliau kagum dengan keberanian Najib tampil membela dirinya sendiri.
“Najib ini bukan liabiliti pada Umno kerana 1MDB ini hanya tuduhan jahat PH. Tak ada bukti beliau terlibat dengan 1MDB.
“Saya tidak fikir BN kalah kerana 1MDB. BN kalah kerana fitnah PH.
“Tak ada masalahnya untuk beliau (Najib) terus mengadakan majlis di pejabat Umno,” katanya.
Bagaimanapun ada pemimpin akar umbi yang kurang selesa sekiranya ada usaha untuk memberikan Najib kedudukan dalam parti, ketika Umno berdepan dengan krisis kepimpinan.
Ketua Umno Bahagian Pokok Sena Noran Zamini Jamaluddin berkata Umno perlu menerima hakikat bahawa rakyat tidak lagi memberi sokongan kepada Najib.
“Jika Najib mahu menjadi presiden semula atau Zahid mahu berikan dia jawatan seperti penasihat, saya rasa tidak perlu.
“Rakyat tidak suka, yang ini kita kena akui dan terima. Rakyat tidak boleh terima Rosmah (Mansor, isteri Najib),” katanya.
Beliau sebaliknya mengingatkan Zahid untuk segera membuktikan kemampuannya menerajui Umno sebagai pembangkang.
“Zahid perlu diberi ruang untuk buktikan kemampuan. Beliau hadapi kekangan dengan kes mahkamah. Sukar untuk menguruskan parti dalam keadaan sedemikian.
“Tetapi jika pada satu tahap kita lihat tiada perubahan, bukan saja Pemuda tetapi Umno di peringkat bahagian-bahagian juga akan mendesak beliau berehat,” katanya. – 7 November, 2018.
Komen