NAJIB Razak menjelaskan beliau bukan berkempen untuk sekali lagi jadi presiden Umno atau perdana menteri apabila membuat penerangan kepada rakyat mengenai isu semasa.
Kata Najib, penjelasan beliau itu hanya sebagai memberi pandangan dan idea yang diharap boleh membantu mengukuhkan Umno, mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi Malaysia.
“Saya minta maaf sekiranya majlis itu membawa kepada persepsi atau kesimpulan yang tidak diinginkan,” katanya, merujuk pada acara sembang santai bersama rakan-rakan media sosialnya di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
“Saya hendak jelaskan bahawa saya tiada hasrat hendak kembali jadi presiden parti mahupun perdana menteri sebab saya sudah pegang jawatan tersebut selama 9 tahun,” katanya dalam rakaman video di Facebook, hari ini.
Bekas perdana menteri itu percaya dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada padanya, beliau boleh memberikan sumbangan sebagai “pemikir” untuk membantu rakyat dan Umno.
Najib juga melihat beliau bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan terutamanya jika ada “fitnah, pembohongan atau apa-apa fakta yang tidak betul”.
Sabtu lalu, di hadapan rakan media sosialnya, Najib sekali lagi mempertahankan dirinya bukan punca Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah pilihan raya umum ke-14.
Mereka sebaliknya kalah kerana fitnah dan janji palsu yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan, kata bekas pengerusi BN itu.
Kenyataan Najib itu bagaimanapun disanggah sekurang-kurangnya dua bekas menteri dalam kabinetnya sebelum ini, iaitu Nazri Aziz, yang kini setiausaha agung BN, dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas ketua Pemuda Umno.
Najib yang letak jawatan presiden Umno selepas kalah PRU14 kini berdepan 38 tuduhan jenayah di mahkamah melibatkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Ahmad Zahid Hamidi yang menggantikan Najib sebagai presiden Umno melalui pemilihan parti juga pada masa sama berdepan 45 tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. – 5 November, 2018.
Komen
Saya tak bohong, saya tipu je, ujar Jibbye lagi
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Arshad Lazim · Ulasan