PENGHUNI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Gombak Setia, tempat seorang remaja hampir maut selepas terkena roda basikal yang jatuh, berkata ibu bapa yang gagal mendisiplinkan anak mereka menyukarkan tabiat buruk membuang barang dari tingkat atas dihentikan.
Ibu bapa seperti ini perlu diajar kesedaran sivik dan pemikiran hidup bermasyarakat terhadap penduduk lain namun pertemuan mengenai topik itu oleh persatuan penduduk tampaknya tidak begitu memberi kesan, kata Pengerusi Persatuan Penghuni PPR Gombak Setia, Sazali Atar, 56.
Sazali berkata kebiasaan membuang sampah dari tingkat atas semakin meruncing baru-baru ini dan anggota persatuan menyedari golongan muda berusia antara 19 hingga 22 tahun adalah pelaku utama.
Beberapa usaha dibuat untuk membendung kebiasaan itu, seperti pertemuan antara pihak persatuan dengan ibu bapa di PPR, tetapi kesannya tidak bertahan lama.
“Kita perlu mendidik ibu bapa terlebih dahulu. Kami melakukannya sebelum ini tetapi hanya bertahan tiga hingga empat bulan sebelum kebiasaannya perlahan-lahan kembali,” katanya.

The Malaysian Insight bertemu Sazali susulan insiden pada Ahad yang menyaksikan roda basikal dibuang dari tingkat atas menimpa Muhammad Ikmal Abdul Razak, 19 tahun. Beliau terselamat dengan 15 jahitan di kepalanya.
Kejadian serupa berlaku pada Januari mengakibatkan pelajar berusia 15 tahun, S. Satiswaran maut apabila terkena kerusi dibuang dari tingkat atas di PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.
Sazali berkata kebiasaan membuang sampah adalah masalah yang dihadapi oleh PPR lain, menurut pengerusi persatuan itu.
“Baru-baru ini, kebanyakan PPR dibelenggu penghuni dengan mentaliti rendah seperti ini. Mereka boleh jadi orang dewasa, remaja dan juga kanak-kanak.
“Apabila persatuan kami mendengar kes Satiswaran, kami terkejut. Kami benar-benar berdoa tiada perkara seperti itu di PPR kami dan memberi amaran kepada penduduk agar tidak membuang sampah,” tambah Sazali.
Sazali menambah sebarang usaha oleh persatuan atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan berkesan melainkan ibu bapa rela berubah dan mendisiplinkan anak-anak mereka.
“Meletakkan jaring tidak akan berfungsi kerana orang ramai akan terus membuang sampah dan jaringannya akhirnya rosak. Mereka perlu dididik untuk memastikan perubahan,” katanya.
Seorang penghuni, Salmah Mohd Yasah, 57, berkata adalah mustahil untuk mendekati dan mengkritik ibu bapa kerana mereka akan sentiasa berpihak kepada anak, walaupun tahu anak-anak mereka membuang sampah dari balkoni.

“Saya pernah cuba sekali, kerana ada kanak-kanak membuat bising tetapi saya pula dimarahi,” katanya yang tinggal di PPR Gombak Setia hampir 20 tahun lalu.
Salmah berkata beliau juga memberitahu beberapa penduduk supaya tidak membuang sampah tetapi mereka tidak mengendahkannya.
Seorang lagi penghuni, Azizah Aman, 63, berkata adalah perkara biasa bagi penduduk membuang makanan dan juga objek tajam dari tingkat bangunan 21 tingkat itu.
Pisau, cermin dan minuman adalah antara perkara yang pernah beliau lihat dibuang dari atas.
“Setiap hari, kita melihat sesuatu yang baru dan ada orang yang melemparkan cermin sekali. Saya terkejut kerana bunyi itu benar-benar kuat tetapi bersyukur tiada siapa berdekatan.
“Hampir mustahil memberi nasihat kepada orang-orang ini. Kita boleh beritahu apa yang mereka lakukan adalah berbahaya kepada orang lain tetapi mereka tidak peduli,” kata Azizah yang tinggal di sana selama hampir 15 tahun.
The Malaysian Insight juga bercakap dengan pekerja pembersihan di PPR.
Mereka mengakui sentiasa bimbang akan keselamatan diri apabila melakukan tugasan di sekitar flat.
“Saya rasa perlu memakai topi keledar. Kadang-kala kami terkena makanan seperti mi goreng dan juga kari,” kata seorang pembersih yang hanya mahu dikenali sebagai Eli.

Mereka membersihkan kawasan itu tiga kali sehari, antara 7 pagi hingga 3 petang.
Eli berkata, sampah baru akan “muncul” walaupun kawasan baru sahaja dibersihkan.
“Paling teruk adalah pada waktu pagi. Banyak sampah di atas tanah, seolah-olah kami tidak membersihkannya pada hari sebelumnya.” – 6 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mokhzani Mohamad · Ulasan