PKR umum keputusan Keningau tengahari ini


Jason Santos

Masalah teknikal dan kekecohan yang berlaku semalam di Keningau menyebabkan proses pengiraan undi lambat selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2018.

MASALAH teknikal menyebabkan keputusan pemilihan PKR Bahagian Keningau yang diganggu kekecohan semalam hanya akan diumumkan tengahari ini.

Seorang jurucakap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkata pemilihan di Keningau melibatkan pengundian offline yang mengambil masa untuk dikira kerana juruteknik terpaksa menyelia data sebelum keputusan akhir boleh dimuatnaik ke pangkalan data pemilihan.

“Pengiraan keputusan masih berjalan…ada pengundi yang terpaksa mengundi offline. Data disimpan dalam tablet hanya boleh dilihat selepas ia dihantar ke pusat JPP di bandar Keningau, tempat ada internet,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, terdapat juga perbincangan yang parti mungkin terpaksa mengadakan pemilihan semula susulan kekecohan yang timbul di pusat pengundian semalam.

Perbincangan berkaitan hal itu masih berjalan.

Pemilihan parti tahun ini menggunakan sistem e-voting yang memerlukan capaian internet dan perhubungan yang baik, dan walaupun kebanyakan kawasan di Sabah mempunyai jaringan internet memuaskan, kawasan pendalaman seperti Keningau masih berdepan masalah bekalan.

Keputusan tidak rasmi untuk semua bahagian kecuali Keningau sudah dikeluarkan sekitar jam 7 malam semalam, hari pertama pemilihan di Sabah.

Keputusan pemilihan awal menunjukkan kedua-dua calon timbalan presiden Azmin Ali dan Rafizi Ramli masing-masing menang enam kerusi.

Azmin menang di Sandakan, Libaran, Kalabakan, Sepanggar, Tawau dan Beaufort. Rafizi pula menakluk Batu Sapi, Kota Kinabalu, Tuaran, Sipitang dan Kota Marudu.

Walaupun pengiraan masih berlaku di Keningau, tetapi Rafizi dijangka menang di kawasan tersebut.

Sabah, negeri kedua paling ramai ahli PKR seramai 143,000 menyaksikan peraturan keluar mengundi hanya 40% semalam.

Pengundian hari kedua diteruskan hari ini di Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar. – 4 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen