Kecoh di Keningau bila Rafizi tiba, kata timbalan pengerusi JPP


Jason Santos

Kekecohan di pusat pengundian pemilihan PKR di Keningau berpunca apabila calon timbalan presiden, Rafizi Ramli tiba di dewan, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parti (JPP) Dr Adzman Hedra. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018.

KEKECOHAN di pusat pengundian bagi pemilihan PKR di Keningau, Sabah bermula apabila calon timbalan presiden, Rafizi Ramli tiba di dewan, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parti (JPP) Dr Adzman Hedra.

“Semuanya terkawal sehinggalah Rafizi tiba. Sebaik saja beliau tiba, (orang) nampak tak tenang.

“Kemudian beliau masuk ke dalam dewan dan minta meminta pengurusan tutup proses pengundian,” Adzman memberitahu The Malaysian Insight ketika ditanya mengenai klip video menunjukkan Rafizi dihadang oleh orang ramai yang berkumpul dalam dewan pusat pengundian di Keningau.

Rafizi kemudian dilaporkan berkata seorang lelaki mendekatinya dan cuba menyerangnya, tetapi hanya berjaya memukul kepalanya.

JPP kemudian mengarahkan proses pengundian diteruskan, memandangkan masih ramai pengundi yang beratur panjang di luar dewan, kata Adzman.

Adzman yang berada di Keningau berkata kejadian berlaku pada jam 4.15 petang.

Katanya, apabila Rafizi meminta proses pengundian dihentikan, pemantau pemilihan cuba memanggil JPP tetapi gagal disebabkan liputan talian mudah alih yang lemah di situ.

Rafizi seterusnya mula meninggikan suara di dalam dewan.

“Ketika inilah orang ramai mula tak tenang. Mujurlah polis cepat masuk.”

Adzman berkata proses pengundian bagaimanapun tetap diteruskan.

Rafizi kemudian dilaporkan berkata serangan terhadapnya berlaku ketika beliau meninggalkan pusat pengundian. Beliau juga menafikan dakwaan yang kekecohan timbul kerana ketibaannya, berkata JPP sengaja memilih dewan kecil yang tidak mempunyai talian telefon dan internet di Keningau.

Proses pengundian di Keningau katanya dihentikan selama sejam sebelum waktu pengundian ditutup, hingga menyebabkan kekecohan di kalangan ahli yang telah lama menunggu di luar dewan sejak pagi.

Sementara itu, polis Keningau berkata tiada tangkapan susulan kejadian itu.

Pemangku Ketua Polis Keningau Asst Supt Lee Nyuk Kim berkata pihaknya akan menyiasat kejadian tersebut.

Kekecohan ini berlaku apabila pesaing Rafizi, Azmin Ali mendahului dengan undi tipis dalam pemilihan fasa pertama di Sabah hari ini. Pemilihan di negeri itu akan berakhir esok. – 3 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen