JPP PKR terlibat dalam kekecohan di Keningau, kata Rafizi


Jason Santos

Rafizi mendakwa Pengerusi JPP Adzman Hedracuba meletakkan kesalahan jawatankuasa itu kepadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018.

CALON timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sengaja memilih sebuah balai raya kecil yang tidak mempunyai talian telefon dan Internet bagi pemilihan parti di Keningau hari ini.

Rafizi juga menafikan dakwaan Pengerusi JPP Adzman Hedra dan berkata Adzman cuba meletakkan kesalahan jawatankuasa itu kepadanya.

Adzman mendakwa ketibaan Rafizi di pusat pengundian dan meminta pengurusan menutup proses pengundian yang sedang berlaku. 

Pemilihan PKR menggunakan sistem e-voting yang memerlukan talian Internet dan telefon yang mantap.

“Saya nafikan ini. Beliau (Adzman) tak ada pun di sana untuk kawal orang ramai. Tiada siapa dapat kawal orang ramai bila ahli PKR dminta berdiri selama 4-5 jam dan kemudian tak mahu mengundi,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

“Beliau hanya nak letak kesalahan JPP kepada saya, bila JPP terpaksa menjawab kenapa buat semua keputusan salah hingga sebabkan semua masalah ini,” tambahnya.

Menurut Rafizi, JPP bersetuju untuk mengadakan pemilihan di dewan komuniti, bukan di Keningau, yang dipilih oleh seorang calon yang menyokong pesaingnya, Azmin Ali.

Jelasnya lagi, lebih daripada 1,500 pengundinya telah beratur di sana dan ketika menghampiri waktu penutupan mengundi, mereka mula bergegas masuk ke dalam dewan.

“Semasa orang ramai bergegas untuk mengundi, jawatankuasa tak dapat mengawal keadaan dan mereka putuskan untuk hentikan pengundian pada saat akhir.

“Pada masa inilah, ketika saya hendak tinggalkan dewan kecil itu, seorang lelaki datang dari belakang dan cuba pukul saya tetapi cuma dapat pukul kepala saya,” kata Rafizi, sambil memberitahu calon timbalan presiden dibenarkan masuk ke dalam dewan mengundi.

Apa yang mengeruhkan lagi keadaan katanya, ialah Ketua Cabang Keningau, Johari Tahir menggunakan beberapa orang “bouncer” untuk menyekat pintu dan hanya membenarkan mereka yang menyokongnya masuk mengundi.

“Ada protes di luar sebab di dalam dewan, orang-orang Johari kawal pintu dan hanya benarkan pengundinya masuk. Kekecohan di luar dan dalam dewan seperti yang dilihat dalam video yang tular, adalah disebabkan Johari sengaja cuba hentikan proses pengundian kerana tak dapat kawal penyokongnya,” kata Rafizi.

Satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada jam 8 malam tadi selepas beliau menjalani pemeriksaan kesihatan. – 3 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen