ISU bayaran balik minimum pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), selepas ada kekeliruan susulan pembentangan Belanjawan 2019 semalam, kata Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.
“Saya antara individu yang bertanggungjawab terlibat (merangka) manifesto. Saya tahu perkara itu perlu diperhatikan,” katanya mengulas Belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam.
“Memang ada kelainan daripada (segi) pelaksanaan. Akan dibawa ke kawan-kawan pimpinan dalam PH untuk diusulkan dalam agenda (mesyuarat) petang ini,” katanya dalam satu sidang media Majlis Pelancaran Kempen Hidup Aktif (Walk), di Shah Alam, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan mengulas cadangan Belanjawan 2019 mengenai kaedah pembayaran balik secara potongan gaji berjadual antara 25 hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam, bagi mereka yang berpendapatan melebihi RM1,000.
Manifesto Pakatan Harapan sebaliknya menjanjikan hutang PTPTN hanya dibayar oleh peminjam sekiranya gaji atau pendapatan mereka mencecah lebih RM4,000.
Menurut Dr Dzulkefly, walaupun perkara yang diumumkan dalam Bajet 2019 berbeza dengan manifesto yang dijanjikan Pakatan, tujuannya tetap sama iaitu membantu peminjam PTPTN.
Mengulas Belanjawan 2019 semalam, Ketua Penerangan UMNO, Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga bekas pengerusi PTPTN berkata cadangan mengenai PTPTN adalah satu penipuan.
Katanya, pembayaran balik melalui potongan gaji berjadual peminjam melebihi RM1,000 sebulan bermakna kerajaan mewajibkan potongan gaji kepada semua peminjam.
Jelasnya, ini menunjukkan janji PH untuk memulakan bayaran balik di tangga gaji RM4,000 tidak dilaksanakan.
Malah, sebelum ini juga PTPTN memang melaksanakan sistem bayaran balik melalui potongan gaji, namun tidak wajib dan dilaksanakan atas persetujuan peminjam.
Pengumuman Lim semalam juga mendapat reaksi negatif daripada peminjam PTPTN yang keliru dengan janji pilihan raya Pakatan bahawa hutang agensi itu hanya dibayar apabila gaji peminjam melebihi RM4,000.
Mereka turut berkata, gaji minimum sebanyak RM1,000 adalah terlalu rendah apabila gaji akan dipotong sebanyak dua hingga 15 peratus.
Belanjawan 2019 semalam turut mengumumkan pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019 manakala pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) juga akan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 mulai tahun depan.
Kerajaan Pakatan Harapan turut mencadangkan potongan pinjaman kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah B40 yang mendapat keputusan cemerlang kelas pertama, manakala baki hutang 350 peminjam berumur lebih 60 tahun dihapus kira. – 3 November, 2018.
Komen