Mana janji bayar balik PTPTN bila gaji RM4,000? 


Zaim Ibrahim

Para graduan menuntut janji kerajaan Pakatan Harapan untuk membenarkan bayaran semula pinjaman PTPTN apabila gaji mencapai RM4,000.– Gambar The Malaysian Insight, 3 November, 2018

PARA graduan menuntut janji Pakatan Harapan (PH) untuk membenarkan bayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) apabila gaji mencapai RM4,000.

Ini memandangkan, kerajaan mengumumkan peminjam berkenaan perlu membayar apabila meraih pendapatan melebihi RM1,000 sebulan bermula tahun hadapan.

Graduan Universiti Malaya (UM), Mohd Nawawi Mohd yang kini bekerja dalam sektor perbankan berkata, beliau tidak berpuas hati kerana sebelum PRU14, ramai mahasiswa yang termakan dengan janji tersebut. 

“Tiba-tiba sekarang, (gaji) RM1,000 dah perlu bayar. Dengan RM1,000 nak makan apa selepas bayar balik pinjaman PTPTN dan komitmen lain?” soalnya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Katanya lagi, kadar dua hingga 15 peratus yang ingin dipotong daripada gaji haruslah ditentukan oleh peminjam, supaya mereka dapat membayar hutang dengan konsisten. 

Seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhd Shamel Suhaimi juga berasa tertipu dengan penetapan baharu itu dan tidak mampu membayarnya. 

“Dulu kata (perlu raih gaji) RM4,000 untuk bayar PTPTN. Sekarang pula RM1,000. Gaji RM1,000 belum mampu sebenarnya untuk bayar PTPTN. 

“Agak sukar lebih-lebih lagi yang bekerja di kawasan bandar dengan kos sara hidup yang tinggi,” jelasnya.

Seorang lagi graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Anas Mustafa, turut mempersoalkan janji tersebut kerana menurutnya sukar bagi graduan meraih gaji RM4,000. 

“Untuk capai RM4,000 terlalu lambat. Lima tahun pun susah nak dapat. Tetapi, bayaran minimum RM1,000 juga sukar.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad (tengah), timbalannya Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kiri) ketika tiba di Parlimen bagi membentangkan Bajet 2019 semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 November, 2018

“Jika ditolak dua peratus daripada gaji, jumlahnya agak tinggi dan beban kerana ada potongan lain dalam gaji,” tambah beliau. 

Kerajaan semalam mengumumkan, peminjam PTPTN perlu membayar pinjaman itu semula secara potongan berjadual antara dua hingga 15% daripada pendapatan bulanan pinjaman. 

Dalam penetapan baharu itu juga, kerajaan mengumumkan potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat ijazah kelas pertama. 

Namun bagi Mohd Hafiz Hassan, seorang graduan yang kini berkhidmat sebagai penjawat awam, polisi baharu itu adalah baik kerana golongan M40 mungkin lebih berkemampuan. 

“Ia adalah lebih saksama, golongan M40 lebih mampu (untuk membayar pinjaman). Kita juga perlu fahami dengan kedudukan kewangan negara sekarang,” kata beliau. 

Namun, berbeza bagi Mohd Nawawi yang beranggapan langkah itu adalah tidak adil bagi mahasiswa golongan M40. 

“Ia tidak adil kerana mereka juga belajar bersungguh-sungguh. Tapi mungkin, kita kena faham dengan situasi kerajaan sekarang,” jelasnya lagi. 

Selain daripada potongan berjadual dengan kadar dua hingga 15 peratus bagi yang bergaji RM1,000 minimum, kerajaan juga memberi potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama. 

Kerajaan juga akan memberi pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019 manakala pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) juga akan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 mulai tahun depan. 

Bagi peminjam yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, hutang mereka akan dihapuskan yang memberi memanfaatkan kepada 350 peminjam melibatkan kos RM4.2 juta. – 3 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen