Bayar balik PTPTN lepas gaji cecah RM4,000, kata Nik Nazmi


Noel Achariam Diyana Ibrahim

Nik Nazmi berkata perkara itu penting bagi mereka yang mempunyai masalah untuk menyelesaikan pinjaman PTPTN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Julai, 2017.

PELAJAR akan hanya perlu membayar balik pinjaman pendidikan tinggi apabila pendapatan mereka mencecah RM4,000 sebulan.

Cadangan radikal itu akan menjadi sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata perkara itu penting bagi mereka yang mempunyai masalah untuk menyelesaikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita tidak menjangkakan kerajaan akan hapuskan PTPTN, tetapi secara realistiknya, pasti ada cara untuk memudahkan bayaran pinjaman itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Merchant Square.

Nik Nazmi berkata kenaikan kos sara hidup dengan tangga gaji tidak berubah, kerajaan Barisan Nasional bertindak menghapuskan peruntukan pelajaran.

Katanya, PH turut mencadangkan lebih banyak universiti, kolej dan kolej vokasional dibina sebagai sebahagian daripada manifesto mereka.

“Kini terdapat kira-kira 20 universiti awam dan 400 universiti swasta di seluruh negara. Apa yang perlu difokuskan ialah pembinaan lebih banyak universiti awam untuk kurangkan permintaan universiti swasta dan tambah kolej vokasional bagi melahirkan pekerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan Thanawi, Nik Nazmi berkata kerajaan mengelak isu ini sejak sekian lama.

“UEC diiktiraf beberapa universiti terbaik dunia, tapi dipinggirkan di negara ini.

“Kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak mengiktiraf UEC. Sepatutnya polisi ini diterapkan di seluruh Malaysia untuk elakkan keciciran.

“BN gagal memperkasakan sistem pendidikan negara, jadi PH akan pastikan pendidikan diberi keutamaan. – 4 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen