Zahid boleh cakap apa saja sebab sudah tiada kuasa, kata Dr M


Zaim Ibrahim

Dr Mahathir menempelak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang memberi komen mengenai belanjawan sulung Pakatan Harapan. Beliau sebelum ini menyifatkan Belanjawan 2019 adalah belanjawan bijak kerana kerajaan berbelanja pada kadar kemampuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018.

PEMBANGKANG boleh cakap apa saja mengenai Belanjawan 2019 kerana mereka tidak lagi berkuasa, kata Dr Mahathir Mohamad, termasuk menyifatkannya sebagai meniru belanjawan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Kata Perdana Menteri, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid juga boleh berkata apa saja kerana hutang yang ditanggung negara sekarang bukan disebabkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Dia (Zahid Hamidi) boleh kata apa pun kerana dia tidak ada kuasa, kita tidak hutang berbillion-billion, ” katanya ringkas selepas melancarkan Kempen Hidup Aktif (Walk), di Shah Alam, hari ini. – 3 November, 2018.

Semalam, Zahid Hamidi berkata belanjawan yang dibentangkan kerajaan adalah hasil pengubahsuaian bajet daripada kerajaan terdahulu.

“Tidak ada kejutan atau keajaiban dalam bentuk insentif untuk rakyat. Tiada peruntukan khusus untuk petani dan nelayan,” kata Zahid kepada wartawan di lobi Parlimen selepas Belanjawan 2019 dibentangkan.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut mendakwa belanjawan tersebut meniru BN dan mengambil idea inisiatif-inisiatif daripada pentadbiran terdahulu.

“Terdapat banyak perkara yang berterusan dari masa BN dikemukakan sekali lagi hari ini,” kata Khairy kepada wartawan selepas pembentangan Belanjawan 2019, semalam.

Mahathir Mohamad turut menafikan belanjawan yang dibentangkan meminggirkan negeri Kelantan dan Terengganu yang berada dibawah Pas.

“Kita ada program, kita akan bayar duit pada Kelantan,” tambahnya tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut program apa yang bakal dilaksanakan di dua negeri itu.

Ketika mengulas mengenai Belanjawan 2019, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pengabaian tersebut tidak adil buat dua negeri Pantai Timur itu.

“Dalam belanjawan kali ini antara dibangkitkan Tun Dr Mahathir ialah pembangunan wilayah seimbang tetapi saya tengok kali ini hampir tidak ada. 

“Tidak digambarkan dengan data yang jelas khususnya Pantai Timur. Hampir tiada satu agenda besar. Saya tengok mungkin ada keabaian dari segi perancangan kerajaan,” kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu. – 3 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen