PAS kecewa tiada bajet khusus untuk Kelantan, Terengganu 


Nabihah Hamid

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pengabaian tersebut tidak adil buat dua negeri Pantai Timur itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2018.

AHLI Parlimen PAS kecewa kerana kerajaan Pakatan Harapan mengabaikan peruntukan kepada negeri Kelantan dan Terengganu dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan hari ini. 

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pengabaian tersebut tidak adil buat dua negeri Pantai Timur itu. 

“Dalam belanjawan kali ini antara dibangkitkan Tun Dr Mahathir ialah pembangunan wilayah seimbang tetapi saya tengok kali ini hampir tidak ada. 

“Tidak digambarkan dengan data yang jelas khususnya Pantai Timur. Hampir tiada satu agenda besar. Saya tengok mungkin ada keabaian dari segi perancangan kerajaan,” kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu. 

Sependapat dengannya, dua lagi ahli Parlimen berkata ia juga menunjukkan kerajaan negeri menganaktirikan dua negeri ditadbir parti Islam itu.  

“Kalau lain pembangunan, Sabah dan Sarawak disebut secara khusus. (Tetapi) Kelantan, Terengganu antara negeri yang tertinggal dari segi pembangunan wilayah tidak disentuh,” kata Ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Md Nawi. 

Ahmad Fadhli Shaari, ahli Parlimen Pasir Mas pula berkata peruntukan khas untuk Kelantan amat perlu kerana Menteri Kewangan Lim Guan Eng sendiri mengakui ia adalah negeri gagal dan miskin.

“Saya berasa sedikit kecewa kerana tidak ada projek khusus Kelantan sebagai mana kita harapkan kerana menteri kewangan sendiri sebut Kelantan merupakan negeri gagal miskin dan sebagaimana tapi mana bantuan kerajaan pusat?

“Mana dia peruntukan khusus untuk pembinaan lebuh raya, pembesaran lapangan terbang dan sebagainya. Saya nampak hasrat untuk anak tirikan negeri yang ditadbir PAS,” katanya, mengulas belanjawan sulung dibentangkan Pakatan Harapan hari ini. 

Peruntukan dibentangkan Lim hari tidak menyebut peruntukan khusus untuk Kelantan dan Terengganu. 

Bagaimanapun, belanjawan memperuntukkan RM5 bilion kepada Sabah dan RM4.35 bilion bagi Sarawak tahun depan untuk pembangunan negeri.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM4.133 bilion untuk Sabah dan RM4.336 bilion bagi Sarawak yang diperuntukkan dalam belanjawan 2018. – 2 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen