JAWATANKUASA Pemilihan Parti (JPP) ada rancangan kedua untuk memastikan proses pengundian melalui e-voting kekal lancar di Sabah dan Sarawak walaupun berlaku masalah capaian Internet.
Timbalan Pengarahnya Dr Adzman Hedra berkata ia bagi mengelakkan masalah yang berlaku dalam pengundian di Kedah, Melaka dan Kuala Selangor berulang.
Jelasnya, selain menambah bilangan petugas, JPP bersedia akan mengadakan pengundian secara offline dengan memuatkan segala data pemilih dalam mesin pengundian dengan lebih awal.
“Sabah dan Sarawak dari segi persediaan kita kena lihat peristiwa berlaku di Melaka, Kedah dan Kuala Selangor. Ketiga-tiga insiden mengajar kita banyak perkara dan kita sedia untuk membendung perkara (ini dari) berlaku di Sabah Sarawak.
“Antara langkah kita ambil adalah selain kita (buat) internal storage itu, kita bersedia buat undi secara offline,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelasnya, pemilihan itu tetap akan diadakan secara dalam talian tetapi akan ditukar ke sistem offline secara offline secara automatik apabila berlaku masalah talian.
Apabila masalah talian pulih semula, data dari aplikasi pengundian di tablet akan dimuatkan ke server untuk dipadankan.
“Kita bercadang untuk lebih adil, kalau betul-betul di sana banyak cabang tiada talian internet,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata pihak JPP juga bercadang untuk mengumumkan keputusan di Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah di hadapan calon-calon ketua cabang.
“Kita tidak akan keluarkan keputusan di cabang akan ke bawa tablet ke MPN dan kita panggil ketua cabang di situ, kita (padankan data) dan keluarkan keputusan,” katanya lagi.
Proses pengundian terdahulu dalam pemilihan PKR tertangguh beberapa kali disebabkan sistem e-voting yang tidak stabil ekoran capaian Internet yang lemah.
Ia berlaku di Kedah sehingga mencetuskan kekecohan. Proses pengundian di Melaka juga mengalami masalah sehingga 2,000 undi hilang kerana masalah teknikal.
Terbaru, pemilihan di Kuala selangor ditangguhkan gara-gara insiden sabotaj apabila satu alat penyekat isyarat telekomunikasi ditemui di pusat pengundian.
Sabah merupakan negeri dengan jumlah pengundia kedua tertinggi – seramai 145,639 anggota manakala Sarawak pula mempunyai jumlah pemilih kedua paling tinggi – seramai 56,901 ahli.
Pemilihan Sabah berlangsung dua hari hari iaitu 3 dan 4 November manakala Sarawak pada 10 November. – 3 November, 2018
Komen