Bajet 2019 kurangkan ketaksamaan bagi golongan B40, kata penganalisis 


Chan Kok Leong

Penganalisis menyifatkan Bajet 2019 yang dibentangkan semalam memberi tumpuan kepada golongan B40.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 November, 2018

WALAUPUN para petani dan nelayan mengadu bahawa Bajet 2019 tidak mempunyai apa-apa untuk mereka, penganalisis menyifatkan ia sebagai satu pengembangan yang bertujuan untuk menangani ketaksamaan pendapatan.

Mereka memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang menyasarkan kumpulan B40, menumpukan kepada pengumuman mengenai insurans penjagaan kesihatan, kenaikan gaji minimum dan subsidi sasaran untuk petrol dan elektrik.

“Bajet ini memberi pelbagai kelebihan pihak berkepentingan terutamanya kumpulan B40. Pengumuman seperti insurans penjagaan kesihatan dan gaji minimum adalah strategi yang baik untuk meredakan tekanan kewangan untuk mereka.

“Bajet ini juga mengakui ketaksamaan pendapatan dalam sistem. Pengumuman mengenai RPGT (cukai keuntungan harta tanah) akan membantu menangani ketaksamaan,” kata Ahli Parlimen Klang, Dr Charles Santiago, yang merupakan ahli ekonomi terlatih.

Beliau berkata ia adalah bajet yang berani kerana ia memastikan peruntukan yang mencukupi untuk pembangunan.

Golongan nelayan dan petani merungut berikutan Bajet  2019 yang tidak memberi apa-apa buat mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengumumkan bajet RM314.5 bilion yang mana RM259.8 bilion adalah untuk perbelanjaan operasi dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Jumlahnya lebih tinggi daripada perbelanjaan RM290.4 bilion di bawah bajet Barisan Nasional untuk tahun 2018.

Tetapi Santiago mengingatkan bahawa langkah-langkah itu tidak akan bertahan jika tidak ada perpaduan antara penyampaian langkah-langkah dan latihan untuk meningkatkan kumpulan B40 dengan cara yang mampan.

“Kerajaan perlu memastikan bahawa latihan kemahiran dan usahawan akan mencapai kumpulan sasaran supaya mereka boleh keluar dari kumpulan B40 ke M40,” kata Santiago.

Penyelidik ISEAS-Yusof Ishak Institute Dr Lee Hwok Aun berkata Belanjawan 2019 berjaya membezakan pentadbiran dari pendahulunya dengan memperkenalkan program-program baru sambil mengutamakan yang sedia ada.

“Beberapa inisiatif dalam menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan mempromosikan kehidupan yang lebih sihat adalah sangat dialu-alukan. Peningkatan BSH kepada saiz isi rumah juga merupakan langkah yang masuk akal, mengekalkan instrumen yang popular dan progresif dengan peningkatan.

“Menaikkan gaji minimum kepada RM1,100 juga menunjukkan tindak balas kerajaan terhadap kritikan awam berhubung kenaikan yang diumumkan pada bulan September.

“Bagaimanapun, saya harap ini tidak menetapkan duluan. Bajet bukan forum untuk menetapkan gaji minimum. Bidang kuasa dan kuasa Majlis Perundingan Gaji 
Negara (MPGN) perlu dihormati.

Ahli Parlimen Klang, Dr Charles Santiago berkata pengumuman sepert insurans kedsohatan dan gaji minimum akan meredakan tekanan kewangan golongan B40. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018

“Malah MPGN mencadangkan gaji minimum yang lebih tinggi iaitu RM1,170,” kata bekas pensyarah ekonomi Universiti Malaya.

Prof. Dr. Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga memberi tumpuan kepada golongan B40.

“Penyediaan Bantuan Sara Hidup kepada kumpulan yang memperoleh pendapatan kurang dari RM4,000 dengan mengambil kira tahap pendapatan, dan juga saiz keluarga. Walaupun boleh dikatakan bahawa sumbangannya rendah, ia pasti dapat membantu kumpulan ini untuk meringankan bebanan kewangan mereka.

“Subsidi untuk RON95 yang disasarkan kepada pemilik kereta di bawah 1,500cc dan motosikal di bawah 125cc juga bergerak baik untuk membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

“Masih ada kebimbangan bahawa apungan harga petrol dapat mempengaruhi harga barangan, dan ini adalah sesuatu yang perlu ditangani oleh kerajaan.”

Pelanjutan subsidi untuk elektrik dari bil bawah RM20 hingga RM40 juga akan membantu kumpulan berpendapatan rendah.

Tunku Mohar berkata peruntukan yang lebih tinggi kepada sektor pendidikan dan kesihatan mencerminkan kebimbangannya terhadap kebajikan rakyat Malaysia.

“Walaupun tidak semua janji-janji yang dibuat dalam manifesto itu dapat dipenuhi, namun usaha-usaha itu seolah-olah mencadangkan agar kerajaan responsif terhadap keperluan rakyat. Ia tidak memberi terlalu banyak arahan langsung, tetapi terdapat banyak usaha yang disasarkan untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup B-40,” kata pensyarah sains politik. – 3 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen