JAMAL Yunos menafikan beliau dalang di sebalik kekecohan yang tercetus selepas insiden baling selipar, kasut, kerusi dan suar dalam forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam semalam.
Presiden Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia itu sebaliknya menuduh dalang sebenar kejadian ialah ahli Bersatu sendiri.
“Kami dah tahu awal-awal sejam selepas perkara itu berlaku ia akan dikecohkan dan kekecohan itu diletakkan kepada Umno supaya Umno dilihat seperti membuat kerja kotor mereka. Ini perkara yang telah dirancang,” katanya pada sidang media di Ampang, Selangor hari ini.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu turut mendakwa beliau ada bukti kukuh untuk menyokong kenyataannya yang mengaitkan kekecohan itu dengan “orang dalam” Bersatu.
“Saya mempunyai bukti, sebab kita sendiri dimaklumkan oleh ahli Bersatu yang insiden semalam disengajakan oleh mereka.
“Malah
Tambah Jamal, beliau akan melaporkan maklumat yang ada padanya itu dalam “masa sehari dua ini”.

Ketua sayap pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam reaksi awalnya semalam mendakwa insiden dicetuskan oleh orang luar yang menyamar sebagai ahli Bersatu.
Tiga remaja berumur 17, 18 dan 19 yang ditahan selepas kejadian hari ini diperintahkan oleh mahkamah supaya ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Mereka disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana merusuh dan memiliki bahan letupan serta senjata berbahaya.
Jamal pernah mencetuskan kontroversi dan menarik perhatian umum ekoran siri protes yang beliau anjurkan di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Pada akhir Disember tahun lalu, beliau datang ke perkarangan bangunan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar Selangor itu dengan memakai tuala sebagai protes krisis air di Selangor.
Pada Januari berikutnya, beliau menyusun 10 katil bujang dengan cadar bertulis DAP – Dapat Aiskrim Percuma – sebagai membantah aktiviti judi dan rumah urut di negeri itu.
Pada Mei seterusnya, beliau datang dengan sebuah bas membawa pengikut-pengikutnya yang berpakaian ala zombi untuk membantah apa yang didakwanya sebagai kemasukan pengundi hantu ke kawasan dewan undangan negeri Sekinchan.
Jamal sebelum ini juga menggerakkan penyokongnya untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 5. Beliau juga terlibat menganjurkan protes di luar pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya pada tahun lalu sebagai membantah portal berita itu yang katanya ditaja dengan dana daripada George Soros.
Dalam pada itu, Jamal menawarkan diri untuk menganjurkan program yang diberi nama Nothing to Hide 0.3 dan akan menjemput pemimpin Pakatan Harapan seperti Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Guan Eng dan Azmin akan diminta menjawab isu-isu berhubung pentadbiran mereka di negeri masing-masing, manakala Kit Siang berhubung dakwaan negara asal kelahirannya. Kit Siang menepis dakwaan itu sebelum ini dengan mengatakannya “berita sampah”. – 14 Ogos, 2017.
Komen