TIADA keperluan untuk melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti dicadangkan Barisan Nasional (BN) hari ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana kerajaan sudah berjanji untuk memansuhkan GST bagi memberi laluan kepada pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Terdahulu, BN mencadangkan untuk melaksanakan semula GST dengan kadar yang lebih rendah iaitu 3%.
“Untuk kerajaan, GST adalah pada kadar kosong peratus, jadi pelaksanaan GST sebanyak 3% tidak timbul dan ini adalah janji kita kepada rakyat untuk menghapuskan GST dan memperkenalkan SST.
“Ini (SST) telah dilaksanakan dan diluluskan melalui kelulusan Parlimen dan perlu diteruskan,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata sistem cukai holistik perlu diambil kira.
“Jika BN mahu mencadangkan usul itu, kita biarkan rakyat menentukannya sama ada mereka boleh menerima cadangan tersebut,” kata Azmin.
“Buat masa ini, kita yakin dengan pelaksanaan SST walaupun kutipan berkurangan tetapi dengan sistem yang berkesan kita boleh menampung kekurangan dengan memotong perbelanjaan awam dan meningkatkan pendapatan,” katanya.
BN mahu kerajaan mengembalikan GST dengan kadar lebih rendah sebanyak 3% bagi menambahkan pendapatan kerajaan.
Menteri kewangan bayangan BN, Khairy Jamaluddin berkata ia juga dapat mengurangkan pasaran gelap yang berpunca daripada pengelak pembayar cukai.
“BN mencadangkan pengenalan semula GST pada kadar 3% yang lebih telus dan cekap dengan kadar lebih rendah serta jumlah senarai barangan dikecuali lebih banyak.
“Jumlah hasil dijangka sama dengan jumlah kutipan di bawah SST,” katanya dalam perbentangan bajet alternatif BN yang dipanggil “Insiatif Ekonomi Rakyat”. – 1 November, 2018.
Komen