BARISAN Nasional (BN) mahu kerajaan mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan kadar lebih rendah sebanyak 3% bagi menambahkan pendapatan.
Menteri kewangan bayangan BN, Khairy Jamaluddin berkata ia juga dapat mengurangkan pasaran gelap yang berpunca daripada pengelak pembayar cukai.
“BN mencadangkan pengenalan semula GST pada kadar 3% yang lebih telus dan cekap dengan kadar lebih rendah serta jumlah senarai barangan dikecuali lebih banyak.
“Jumlah hasil dijangka sama dengan jumlah kutipan di bawah SST,” katanya dalam perbentangan bajet alternatif BN yang dipanggil “Insiatif Ekonomi Rakyat”.
Sementara itu, bekas timbalan menteri kewangan Ahmad Maslan berkata GST mampu mengurangkan pasaran gelap berjumlah RM20 bilion ringgit.
“Pendapatan GST sebanyak 3% adalah RM22 bilion, dan anggaran kita secara tak langsung selamatkan RM20 bilion, maka jumlah pendapatan bertambah kepada RM42 bilion,” katanya kepada ketika diminta mengulas lanjut mengenai pasaran gelap.
Khairy turut memperkenalkan enam cukai baru antaranya cukai soda, plastik, tobin dan remit.
Mengulas lanjut mengenainya, Khairy yang membentangkan insiatif bertemakan “Merancakkan pembangunan, meningkatkan pengagihan, kalis masa depan”, mahu memfokuskan kepada cukai soda, pada kadar RM0.25 bagi setiap liter.
Manakala cukai karbon pula bakal mengenakan caj RM10 bagi setiap tan metrik kepada kilang industri yang mengeluarkan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 25,000 tan metrik.
Selain itu, cukai beg plastik menerusi caj RM0.15 akan memberikan pulangan sebanyak RM12.46 bilion setahun kepada kerajaan.
“BN turut memperkenalkan cukai tobin yang dikenakan ke atas transaksi saham jangka masa pendek bagi mengawal spekulasi yang boleh memberi risiko ketidaktentuan pasaran saham.” – 1 November, 2018.
Komen