KERAJAAN hanya mahu pemandu teksi beralih menggunakan kemudahan teknologi sistem pesanan pelanggan secara dalam talian atau e-panggilan, dan bukannya berhenti memandu teksi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Katanya, pemandu teksi menggunakan e-panggilan akan dapat untung lebih kerana mereka dapat penumpang tambahan – yang memesan secara dalam talian dan yang menahan teksi di tepi jalan.
“Kita minta mereka gunakan e-hailing, bukan minta mereka tinggalkan teksi.
“Teksi boleh terus (dibawa). Mereka ada kelebihan untuk ambil penumpang sama ada melalui e-hailing ataupun di tepi jalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Stesen Kereta Api Abdullah Hukum, di Kuala Lumpur, hari ini.
“Kalau gunakan sistem tradisional hanya boleh ambil penumpang di tepi jalan. Sekarang ini, ramai pengguna membuat tempahan (teksi) melalui telefon pintar saja. Sebab itu kita minta pemandu teksi untuk mengadaptasi penggunaan teknologi.”
Semalam, ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, Loke meminta pemandu teksi menggunakan perkhidmatan e-panggilan, baik yang disediakan oleh Grab atau syarikat lain.
“Ada 20 hingga 30 syarikat e-hailing di negara ini, ada banyak lagi pilihan.
“Yang penting, kita nak yakinkan pemandu teksi, kalau kita tak gunakan aplikasi teknologi baru, kita akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata setakat ini 10,000 pemandu teksi sudah berdaftar dengan syarikat e-panggilan serta berharap jumlah itu bertambah dengan polisi yang ditetapkan kerajaan.
“Saya menetapkan dasar bahawa syarikat e-hailing boleh mengambil komisen pada kadar 10%, paling maksimum. Ia tidak boleh lebih daripada itu,” katanya.
Minggu lepas, sekumpulan pemandu teksi mendesak Loke letak jawatan kerana beranggapan beliau tidak berjaya menyelesaikan kemelut industri itu.
“Kita tidak perlukan menteri yang tiada kepentingan dengan kita dalam industri ini,” kata Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) Kamarudin Hussain.
Ditanya desakan itu, Loke enggan memberi sebarang komen dan berkata semua individu ada kebebasan bersuara.
Di Langkawi baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mencari jalan membantu pemandu teksi bersaing secara sihat dengan perkhidmatan e-panggilan. – 1 November, 2018.
Komen