Kesal pemandu teksi angkuh, Dr Mahathir sedia letak jawatan


Kecoh apabila beberapa anggota persatuan teksi tidak berpuas hati dengan pendangan beliau mengenai perkhidmatan e-panggilan, Grab dalam satu sesi dialog bersama pemandu teksi di Langkawi hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad sedia letak jawatan selepas kesal dengan sikap biadap pemandu teksi di Langkawi yang enggan mendengar penjelasannya mengenai isu perkhidmatan kereta sewa panggilan Grab, lapor Bernama.

Sesi dialog Perdana Menteri bersama pemandu teksi di Langkawi hari ini kecoh apabila beberapa pemandu melemparkan kata-kata kesat dan membuat bising.

Sebaik sahaja kekecohan selama dua mini itu reda, Dr Mahathir berkata beliau hanya cuba untuk membantu pemandu teksi memulihkan semula pendapatan mereka.

“Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendirilah. Tengok apa jadi. Saya nak tolong. Tapi kalau tak ada bantuan kepada saya, saya tak boleh tolonglah. 

“Saya bukan nak jadi perdana menteri. Saya bersara dah tapi orang panggil balik. Sebab itu saya datang. Kalau tak nak saya jadi perdana menteri hari ini pun saya letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Pada majlis itu, 10 orang pemandu teksi berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika keluar apabila Dr Mahathir berkata akan terus mencari jalan terbaik dan adil bagi menyelesaikan isu yang dihadapi mereka.  – 21 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen