2,000 ahli PKR 'hilang undi' di Melaka dipanggil mengundi semula


Nabihah Hamid

Cabang Alor Gajah dan Masjid Tanah akan membuat pengundian semula di UiTM Lendu, manakala empat lagi cabang iaitu Bukit Katil, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka dibuat di  Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.

PENGUNDI di kesemua enam cabang melibatkan 2,000 anggota yang ‘hilang’ undi sewaktu proses pemilihan di Melaka baru-baru ini akan dipanggil semula pada 11 November, kata Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). 

Manakala 200 undi yang terjejas di cabang Jelebu Negeri Sembilan juga akan dibuat pada hari sama selain cabang Kuala Selangor.

Menurut surat pekeliling PKR yang diterima The Malaysian Insight, Cabang Alor Gajah dan Masjid Tanah akan membuat pengundian semula di UiTM Lendu, manakala empat lagi cabang iaitu Bukit Katil, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka dibuat di  Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Melaka. 

Manakala lokasi bagi cabang Jelebu, Negeri Sembilan dan Kuala Selangor, Selangor masih belum diputuskan. 

Timbalan Pengarah JPP Dr Adzman Hedra berkata pihaknya akan mengecilkan pusat pengundian kepada dua pusat bagi memudahkan JPP menyelaraskan proses pemilihan di Melaka. 

“Kita akan buat serentak, Melaka melibatkan semua cabang. Tetapi keunikan dia kita hanya panggil mereka yang terjejas sahaja. Kita buat dua pusat pengundian di Melaka,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight. 

Jelasnya, pengundi yang terjejas akan dikesan melalui kad pengenalan dan nama mereka akan dipanjangkan ke peringkat cabang. 

“Kita guna IC dan nama diberikan pada cabang untuk makluman,” katanya lagi. 

Mengulas mengenai keputusan, Dr Adzman berkata undi yang tidak terjejas akan diambil kira dan pertambahan akan berlaku selepas ‘undi hilang’ telah membuat pemilihan. 

“Undi dahulu yang sudah ada kita kira. Maka undian akan bertambah lagi. Tidak akan berkurang,” katanya lagi. 

Pemilihan di Melaka pada 20 Oktober lalu tergendala selepas terdapat masalah pada sistem e-voting menyebabkan undi yang dimasukkan pengundi hilang daripada sistem. 

Pakar teknologi maklumat mengesahkan 2,000 undi yang ‘hilang’ dalam sistem itu disebabkan data tidak dapat disimpan secara ‘cloud’ kerana capaian Internet yang lemah. – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen