AHLI Parlimen Perlis yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan disoal siasat selama tujuh jam hari ini.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, ahli Parlimen yang juga seorang bekas menteri itu telah dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman pada jam 10 pagi tadi.
“Beliau dipanggil sejak jam 10 pagi tadi dan akan dibebaskan tidak lama lagi.”
“Beliau disoal siasat berhubung serangan seksual yang didakwa. Walaupun mengambil masa selama tujuh jam, tetapi beliau juga ada berhenti rehat,” kata sumber tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata Bukit Aman merakam keterangan bekas menteri berkenaan.
“Siasatan kami hampir siap dan Bukit Aman juga telah merakam keterangannya pagi tadi.
“Sebaik saja semuanya selesai, kami akan serah kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mushar mengesahkan kejadian berlaku di dalam kereta suspek dan suspek memegang tangan remaja perempuan itu sebelum cuba menyentuh bahunya.
“Hanya mereka berdua di dalam kereta. Gadis itu berlari sambil menangis selepas suspek cuba menyentuhnya. Gurunya yang memanggil untuk berjumpa suspek juga nampak dia menangis,” kata Mushar.
Tambah beliau, setakat ini polis telah merakam kenyataan dari sembilan individu berhubung kejadian tersebut. – 30 Oktober, 2018.
Komen