Bukit Aman rakam kenyataan bekas menteri didakwa mencabul


Alfian Z.M. Tahir

Menurut Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd, bekas menteri yang masih lagi ahli Parlimen di Perlis itu memberi keterangan di Bukit Aman pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.

POLIS sudah mengambil keterangan seorang bekas menteri dari Perlis yang dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja, kata Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd.

Menurut Mushar, bekas menteri yang masih lagi ahli Parlimen di Perlis itu memberi keterangan di Bukit Aman pagi tadi.

“Siasatan kami hampir siap dan Bukit Aman juga telah merakam keterangannya pagi tadi.”

“Sebaik saja semuanya selesai, kami akan serah kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mushar mengesahkan kejadian berlaku di dalam kereta suspek dan suspek memegang tangan remaja perempuan itu sebelum cuba menyentuh bahunya.

“Hanya mereka berdua di dalam kereta. Gadis itu berlari sambil menangis selepas suspek cuba menyentuhnya. Gurunya yang memanggil untuk berjumpa suspek juga nampak dia menangis,” kata Mushar.

Mengulas mengenai dakwaan suspek bahawa beliau mengenali remaja terbabit dan keluarganya, Mushar berkata hubungan mereka dengan suspek tidak begitu rapat.

“Mereka pernah berjumpa tapi saya tak fikir yang mereka sangat rapat seperti yang suspek dakwa.

“Gadis itu sangat baik dan keluarganya sangat menjaga anak-anak mereka,” kata Mushar.

Tambah beliau, setakat ini polis telah merakam kenyataan dari sembilan individu berhubung kejadian tersebut.

“Kami telah memanggil sembilan individu, dari pihak gadis itu dan pihak suspek.

“Kes ini tidak akan ditutup. Sejak hari laporan dibuat sehingga hari ini kami belum tutup kes,” jelasnya.

Menurut laporan, gadis itu masuk ke dalam kereta suspek selepas seorang lelaki dipercayai gurunya memberitahu suspek mahu menemuinya. – 30 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen