Polis siasat ahli Parlimen Perlis terbabit serangan seksual


SEORANG ahli Parlimen dari Perlis disiasat pihak polis berhubung serangan seksual terhadap seorang remaja wanita berusia 15 tahun, kata ketua polis Perlis Noor Mushar Mohd.

The Malaysian Insight difahamkan ahli Parlimen itu juga adalah bekas menteri tetapi Mushar enggan memberi sebarang komen berhubung maklumat itu ketika ditanya.

“Kami menerima laporan polis daripada mangsa dan keluarga. Penyiasatan dilakukan tetapi maklumat adalah sulit.

“Saya boleh beri jaminan bahawa kita tidak akan menutup kes itu tidak kira siapa yang terlibat,” tegas Mushar.

Laproran polis dibuat pada jam 11.30 malam pada 20 Oktober.

Ada tiga kerusi Parlimen di Perlis - iaitu Kangar yang dipegang oleh Pakatan Harapan, manakala Arau dan Padang Besar oleh Umno.

Ketua Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim merupakan ahli Parlimen Arau. Bekas menteri besar Perlis itu juga adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, jawatan yang dipegang Shahidan sehingga pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Kerusi Parlimen Padang Besar pula dipegang oleh Zahidi Zainul Abidin.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, sumber memberitahu The Malaysian Insight remaja perempuan itu telah menarik balik laporan polis kerana keluarganya enggan memanjangkan isu tersebut.

“Gadis itu tidak dipaksa tarik balik laporan tetapi keluarganya tidak mahu panjangkan isu,” kata sumber.

Menurut laporannya, gadis itu masuk ke dlaam kereta selepas seorang lelaki dipercayai gurunya memaklumkan yang suspek mahu berjumpa dengannya.

Mangsa yang berasal dari Arau itu membuat persembahan dengan sebuah kumpulan bernama Kumpulan Aukustika on 7 @ DSSK Busker di Stadium Tuanku Syed Putra.

“Dia membuat persembahan bersama kumpulan itu sebelum seorang lelaki yang dipanggil ‘Cikgu Azhar Hassan’ beritahunya yang suspek mahu berjumpa dalam kereta.

“Gadis itu bersetuju. Suspek dan mangsa menghabiskan masa selama 20 minit di dalam kereta dan gadis itu ditawarkan peluang membuat persembahan di Kuala Lumpur. Dia ditawarkan RM4,000,” menurut satu lagi sumber yang dirahsiakan.

Pelajar sekolah menengah itu bergegas keluar dari kereta selepas ahli politik itu menyentuh bahunya tanpa kerelaannya.

Suspek juga memegang tangan gadis itu sebelum menyentuh bahunya.

“Gadis itu lari ketakutan tetapi kita dapat tahu yang lelaki itu hanya pegang tangan dan gosok bahunya, tak sentuh tempat lain,” kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun, Mushar dilaporkan berkata ahli politik tersebut sudah dipanggil untuk disoal siasat esok.

Beliau juga berkata polis akan meneruskan siasatan meskipun gadis itu telah menaik balik laporannya.

“Walaupun laporan sudah ditarik bali, polis masih siasat (insiden yang didakwa) dan ada yang telah dipanggil untuk diambil keterangan,” beliau dilaporkan berkata.  – 29 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen