MyPPP gesa SPRM dedah identiti individu terima RM36 juta wang 1MDB


Bede Hong

Jurucakap majlis tertinggi MyPPP Loga Balan Mohan bertemu media selepas membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Oktober, 2018.

MAJLIS Tertinggi Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggesa agensi penguatkuasa itu menyiasat dakwaan presiden parti M. Kayveas bahawa sebanyak RM36 juta diberikan kepada enam individu dari parti itu tahun ini.

Kumpulan yang menentang Kayveas itu juga mendesak SPRM untuk mendedahkan nama enam bekas ahli yang dikatakan menerima wang berkenaan dan jumlah sebenar yang diterima mereka kerana semua ahli parti berhak tahu mengenai perkara itu.

“Lebih penting lagi, kita mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan Kayveas bahawa beliau mempunyai maklumat tentang wang yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu diterima sebelum pilihan raya umum ke-14 pada Mei lalu,” kata kumpulan menerusi satu kenyataan.

Ketika ini MyPPP berpecah kepada dua kepimpinan iaitu di bawah presiden Maglin D’Cruz yang dipilih selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Mei lalu selain Kayveas yang mengaku bahawa beliau masih presiden yang sah.

Pada 18 Oktober lalu, Kayveas disiasat SPRM berhubung wang RM36 juta yang diagihkan kepada enam pemimpin kanan parti dan sekutu mereka sebelum pilihan raya. Bayaran itu dibuat sebanyak dua kali iaitu RM16 juta dan RM20 juta, kata Kayveas.

Dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insight, Kayveas berkata antara penerima wang itu termasuk pengkritiknya dari parti yang sama dan wang tersebut diagihkan menggunakan beg berisi wang di sebuah hotel.

Presiden MyPPP M. Kayveas sebelum ini mendakwa enam individu dari parti itu menerima wang berjumlah RM36 juta yang dikaitkan dengan skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.

Katanya beliau tidak mengetahui wang itu dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Kayveas seperti mengetahui semua fakta dan beliau perlu membuktikan dakwaan tersebut dengan maklumat lengkap transaksi yang dibuat,” kata majlis tertinggi MyPPP itu.

Jurucakap majlis tertinggi parti itu, Loga Balan Mohan berkata pihaknya akan menunggu keputusan siasatan.

“Jika ada individu yang mengambil wang tersebut, tindakan perlu diambil ke atas mereka,” katanya kepada media selepas membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya.

“Terdapat laporan media yang mengatakan wang itu mungkin ada kaitan dengan 1MDB. Kita menggesa beliau (Kayveas) untuk mendedahkan individu terbabit.”

Loga Bala sebelum ini berkata majlis tertinggi parti yang diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), akan bertemu hari ini untuk membincangkan pendedahan Kayveas.

Beberapa laporan polis dibuat ke atas Kayveas sejak Julai lalu berhubung dakwaan beliau memiliki hartanah dan perniagaan bernilai jutaan ringgi di dalam dan luar negara.

Kayveas disingkirkan dari MyPPP pada awal tahun ini susulan perbalahan dua kem yang mahu mengawal parti itu.

Kem D’Cruz berkata Kayveas tidak lagi menjadi ahli parti itu berkuatkuasa 25 April tetapi ROS memutuskan bahawa beliau masih lagi presiden sah.   – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen