PRESIDEN MyPPP M Kayveas berada di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipindahkan dari akaun Umno kepada parti yang dipimpin beliau, lapor The Star hari ini.
Akhbar harian itu berkata pemimpin kanan Barisan Nasional itu dipanggil SPRM untuk mendapatkan keterangan mengenai perkara itu.
Ia berkata Timbalan Setiausaha Agung MyPPP Simon Sabapathy mengesahkan siasatan itu dan beliau telah dihubungi oleh SPRM pagi ini untuk mendapatkan dokumen kewangan.
“Beliau (pegawai SPRM) berkata mereka sedang meneliti dana yang dipindahkan dari Umno ke MyPPP ketika tempoh beliau (Kayveas) berkhidmat dengan parti.
“Saya maklumkan kepadanya bahawa jika terdapat sebarang dokumen, ia berada di ibu pejabat parti atau unit penyimpanan di Subang di mana barang-barang peribadi Kayveas disimpan,” kata Sabapathy dalam laporan itu.
Siasatan SPRM terhadap penyalahgunaan dana 1MDB setakat ini menyaksikan bekas perdana menteri Najib Razak dituduh dengan pelbagai pertuduhan.
Terdahulu hari ini, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi ditahan SPRM dan akan dituduh esok dengan pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah yang membabitkan yayasan yang dikendalikan keluarga beliau.
Sementara itu, Kayveas dilihat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 3.20 petang tadi.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa beliau berada di sana bagi membuat laporan mengenai pemindahan dana daripada Umno kepada MyPPP ketika beliau berada di luar parti itu bagi tempoh seketika.
Beliau menambah beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai hal tersebut.-18 Oktober, 2018.
Komen