PEMUDA Umno percaya MCA akan kekal walau parti komponen itu mengugut untuk keluar dari gabungan parti Barisan Nasional (BN) kerana menolak kerjasama dengan PAS.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata isu berkenaan masih boleh dibincangkan dengan MCA kerana BN pernah menghadapi masalah serupa empat dekad lalu.
Asyraf mengulas ugutan timbalan presiden MCA Wee Ka Siong yang tidak berpuas hati dengan tindakan Umno bekerjasama dengan Umno tanpa berunding dengan mereka.
“Apabila BN kali pertama ditubuhkan pada 1973,waktu itu, Presiden MCA, Tan Siew Sin paling kuat mengkritik dan menolak cadangan bawa bersama PAS ke dalam BN, setelah Perikatan dimansuhkan.
“Pandangan (Wee Ka Siong) harus diraikan dan diperhalusi. Biar dia kemukakan pandangan di mesyuarat kepimpinan tertinggi BN.
“Selagi tiada (pengumuman) rasmi dalam BN, pandangan itu boleh diperbahaskan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Pada 1972, PAS menyertai Perikatan bersama beberapa parti komponen yang lain membentuk BN pada 1 Januari 1973.
Walaubagaimanapun, PAS keluar daripada BN selepas menghadapi beberapa masalah dengan gabungan itu.
Wee semalam dalam kenyataannya menegaskan bahawa Umno tidak boleh membuat keputusan bagi pihak BN kerana parti itu berpegang kepada prinsip persetujuan bersama dengan parti komponen yang ada dalam apa juga tindakan bakal diambil.
“Jika (Umno) tidak boleh menghormati rakan dalam gabungan ini dan tetap meneruskan kerjasama dengan PAS tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan MCA, maka MCA tidak akan teragak-agak untuk memutuskan hubungan dengan Umno,” katanya.
Ditanya mengenai penjenamaan semula BN, Asyraf Dasuki berkata jawatankuasa khas akan dibentuk dalam waktu terdekat yang akan disertai beberapa komponen parti yang lain.
Beliau menegaskan, gagasan baharu blok pembangkang itu bergantung kepada strategi untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
“Penjenamaan semula BN bergantung kepada strategi kita agar lebih bersikap inklusif. Bukan sahaja parti-parti komponen (blok pembangkang) tetapi juga pihak-pihak lain yang mempunyai aspirasi dan idealisme yang sama untuk perjuangkan rakyat dan negara,” tambah beliau.
Sabtu lepas, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan menggunakan nama baharu dan mempunyai gabungan dengan beberapa parti komponen baharu dan NGO.
Katanya, langkah itu adalah sejajar dengan kehendak BN untuk mewujudkan sistem dua parti sebagai satu proses penjenamaan semula gabungan itu. – 29 Oktober, 2018.
Komen