Nama baharu dan hala tuju baharu untuk BN, kata Ahmad Zahid


Zaim Ibrahim

BN mempunyai 13 parti komponen tetapi kekalahan teruk kepada Pakatan Harapan menyaksikan hanya tinggal empat parti komponen yang masih setia iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

BARISAN Nasional (BN) akan menggunakan nama baharu dan mempunyai gabungan dengan beberapa parti komponen baharu dan badan bukan kerajaan (NGO), kata pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, langkah itu adalah sejajar dengan kehendak BN untuk mewujudkan ‘two party system’ (sistem dua parti) sebagai satu proses penjenamaan semula gabungan itu.

Langkah itu dibuat susulan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas 66 tahun memerintah negara.

“Dengan rakan-rakan parti politik lain dalam gagasan pembangkang, adalah menjadi suatu landasan ke arah ‘two party system’ yang sedang kita lakukan.

“Kita bukan berperanan sebagai semak dan imbang sahaja tetapi sebagai satu alternatif kepada kerajaan yang ada sekarang,” kata beliau dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama Perhimpunan Agung MIC ke-72 di Dewan Tun Razak 1, PWTC di sini, hari ini.

Tambahnya, BN akan dijenamakan semula termasuk dengan menukar nama baharu dan disertai parti komponen baharu dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ketika ditanya adakah PAS akan menyertai gabungan itu, beliau berkata perkara itu akan diserahkan kepada Setiausaha Agung BN yang baharu, Nazri Abdul Aziz.

“Kita akan serahkan kepada Nazri (untuk memutuskannya). Tugas dan tanggungjawab penstrukturan semula yang mengandungi parti teras dan gabungan ini kita serahkan kepadanya,” kata beliau.

Beliau turut mengharapkan, penjenamaan semula itu mampu diterima rakyat setelah mereka dikecewakan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji. 

Ketika menyampaikan ucaptama, Ahmad Zahid berkata perbincangan akan diadakan dengan parti komponen lain berhubung permintaan Kongress Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) dan Makkal Sakti untuk menyertai gagasan itu. 

Sebelum PRU14, BN mempunyai 13 parti komponen tetapi kekalahan teruk kepada Pakatan Harapan menyaksikan hanya tinggal empat parti komponen yang masih setia iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan.

Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie berkata, sebarang kerjasama dengan mana-mana parti atau mahu terus kekal dalam BN hanya akan diputuskan oleh jawatankuasa MCA pusat kerana ia melibatkan dasar parti.

“Sama ada bekerjasama atau MCA undur daripada BN sekalipun, itu adalah dasar parti dan ia hanya boleh dibuat dan dicapai oleh MCA pusat selepas pemilihan parti (4 November) ini,” jelas beliau. 

Nazri Aziz sebelum ini berkata, Umno kini mesti membuat langkah berani merombak semula parti itu dan bergerak sendirian di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata keputusan empat parti politik di Sarawak keluar daripada gabungan BN adalah bukti pakatan tersebut lemah dan harus dibubarkan.  – 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen