Kalau kail panjang sejengkal, jangan ECRL hendak diduga


Izmil Amri

SAYA adalah antara jutaan peminat tegar Ratu Jazz negara, Sheila Majid. Sebagaimana ramai rakyat Malaysia yang lain, saya membesar dengan lagu-lagu beliau.

Sejak muncul dalam filem Ali Setan (“Tipah tertipu bang.. Tipah tertipu!”), diikuti album debut-nya, ‘Dimensi Baru’ pada tahun yang sama; Sheila mendaki tangga sosial selebriti dengan sangat pantas. 

Berbekalkan lagu-lagu ‘hit’ seperti Sinaran, Antara Anyir dan Jakarta; beliau menempa nama sebagai seorang biduanita bukan sahaja di tanah air, bahkan di peringkat antarabangsa.

Pada tahun 1989, beliau bernikah dengan penerbit muzik terkenal, Roslan Aziz. Meski pernikahan tersebut tidak berlanjutan sehingga kini, apa yang kekal ialah impak Roslan terhadap perkembangan kerjaya muzik Sheila Majid yang menjadikan lagu-lagunya kekal relevan sehingga ke hari ini.

Seingat saya dalam suatu perkongsian antara Roslan dengan beberapa anak muda penggiat industri muzik beberapa tahun lalu, beliau memberitahu bagaimana lagu-lagu yang diterbitkan untuk Sheila Majid adalah sesuai dengan ‘range’ suara penyanyi yang kini berusia 53 tahun itu.

‘Range’ suara ini, mungkin mudah diterjemahkan sebagai julat ‘pitch’ yang boleh dihasilkan oleh kotak suara. Jika diamati, lagu-lagu Sheila berada pada ‘range’ pertengahan, tanpa nada suara yang terlalu tinggi seperti yang kita temukan dalam lagu-lagu penyanyi seperti Nora atau Siti Nurhaliza.

Lagu-lagu Sheila, seperti Legenda, Ratu dan beberapa lagi, memperlihatkan ‘range’ yang sederhana. Untuk orang macam kita, lagu-lagu Sheila Majid boleh dibawa berkaraoke tanpa jenuh tarik sehingga berkemungkinan memutuskan urat leher.

Dengan menggunakan limitasi ‘range’ ini, Sheila Majid terkenal dengan diskografi yang unik dan tersendiri. Comel dan tenang; sesuai dengan saiznya pada ketinggian 4 kaki lebih sedikit.

Dengan menyedari had kemampuan suara beliau, Sheila Majid telah menjadikannya kekuatan yang melonjak kerjayanya ke persada dunia.

Tapi itu Sheila Majid lah.

Lain pula halnya dengan kerajaan negeri PAS Kelantan.

Mahu ambil alih ECRL?

Susah juga sebenarnya kalau punya kehendak besar namun tidak menerima had kemampuan diri. Lebih jenuh lagi apabila melenting jika limitasi dan had itu diberi tumpuan.

Maka tersebutlah kisah bagaimana Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan telah bertanya di Dewan Rakyat tentang kebarangkalian untuk kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu mengambil alih projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) apabila ia dihentikan oleh kerajaan pusat.

“Kalau kerajaan Persekutuan menghentikan projek ini semasa perundingan dan kerajaan negeri di Pantai Timur ingin ambil inisiatif sendiri teruskan projek ini, apa pandangan menteri?,” soal Takiyuddin.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pun bangun menjawab: “Tentang cadangan YB bahawa kerajaan Kelantan dan Terengganu ingin ambil alih ECRL, saya tunggu suratlah sekiranya berminat nak buat demikian.”

Namun Guan Eng tidak berhenti di situ, lalu menambah: “Tetapi dalam masa sama saya fikir macam mana Kelantan mampu buat sedangkan gaji anggota perkhidmatan pun tak mampu dibayar.” Dan Dewan Rakyat pun meletup kekecohan.

Lalu bermulalah perang mulut dan sidang media antara menteri dan seluruh gerombolan penyokong dan kepimpinan PAS. Hatta dalam sidang media Takiyuddin selepas itu, Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan pun ada sama memberi sokongan moral.

Guan Eng pastinya tidak akan mengalah. Serangan PAS dikilas, dikunci dan akhirnya dibanting apabila beliau mendedahkan permohonan Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan untuk bantuan pendahuluan bagi menampung aliran kewangan negeri.

Perenggan empat surat yang dilayangkan Guan Eng di bilik sidang media Parlimen menjelaskan bahawa kerajaan negeri terdedah kepada kelewatan pembayaran gaji kakitangan, selain pembayaran bil-bil.

Pun begitu pada bulan September lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata seperti berikut: “Kita akui dari segi kewangan Kelantan tidak kaya berbanding negeri lain namun kita membeli kereta Mercedes Benz kerana ia satu keperluan.”

Orang yang sama juga turut mengejek Menteri Kewangan (yang baru sahaja meluluskan bantuan tambahan untuk kerajaan negeri Kelantan) apabila beliau kelihatan sayu setelah memohon bantuan kerajaan pusat ketika berhadapan bencana akibat Taufan Doksuri lebih setahun lalu.

Dan begitu sahaja perbahasan mengenai kemampuan ekonomi Kelantan untuk mengambil alih projek ECRL dilupakan.

Hari demi hari ‘maneuver’ politik PAS Kelantan (selain PAS di lain-lain wilayah) semakin mengusik rasa jengkel kita terhadap parti ini yang semakin tidak tentu hala sejak mengumumkan pernikahannya dengan United Malays National Organisation.

Pada saat Umno pula kini sedang putus angin setelah presidennya disuruh berehat, barangkali akan ada si bijak yang mencadangkan Umno bergabung dengan PAS. Tentunya dengan PAS sebagai imam dan Umno sebagai makmum.

Begitulah keadaannya bila tidak menerima had dan limitasi diri. Maka terlebih suap apa yang tidak terkunyah di mulut. Akhirnya nanti tercekik sendiri.

Mungkin PAS patut belajar daripada Sheila Majid. Seperti bait-bait lagu ‘Hitam Putih Kehidupan’ dendangan beliau:

Begitu berharga kehidupan ini
Bagi mereka yang tahu menghargai
Mengapa terdorong oleh perasaan
Kalau turutkan hati diri menjadi korban

*Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen