Wartawan bukan keldai, hadapilah kebenaran 


Zainal Rashid Ahmad

Sesi temu bual antara Najib Razak dan wartawan Al Jazeera Maria Ann Jolley yang berlangsung pada Jumaat lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2018.

BAGI mantan perdana menteri Najib Razak, tindakan berangnya dalam wawancara dengan stesen televisyen Al-Jazeera kelmarin sangat mengejutkan. 

Najib mengaitkan tindakan emosinya dengan dua perkara. Pertama, wartawan Mary Ann Jolley sengaja menekannya dengan bertanyakan secara agresif isu berkaitan 1MDB, pembunuhan Altantuya Sharibuu dan permata merah jambu milik isterinya. 

Tindakan marahnya itu turut diberikan alasan, terjadi kerana dirinya tertekan akibat sesi temubual itu berjalan serentak dengan proses soal siasat polis terhadap isterinya.

Jelas sekali, Najib berada dalam keadaan sangat tertekan, terlalu emosional dan tidak berupaya menangani sesi wawancara yang telus. Dia tewas ketika Jolley mendesak untuk menjawab soalan-soalan yang menjadi pertikaian dunia terhadap kredibiliti sebagai bekas Perdana Menteri. 

Dalam status Facebooknya, Najib cuba menyalahkan Jolley dan berusaha meraih simpati awam. Begitulah alasannya. 

Tindakannya bangun dan enggan meneruskan wawancara itu disiarkan Al-Jazeera. Sudah pasti puluhan juta menyaksikannya. Malah, media tempatan yang dulu menjadi kakasan politiknya, turut menyiarkan aksi marahnya itu sebagai berita utama. 

Imej Najib kini merudum dengan teruk. Seluruh wawancara itu mendedahkan kerapuhan dirinya. Betapa, seorang mantan Perdana Menteri dikalahkan soalan-soalan wartawan yang mencari kebenaran. 

Wartawan tegar sehebat Jolley, tanpa gentar telah menggerudi semua persoalan berkaitan pertuduhan rasuah dan skandal jenayah yang menyelubungi kehidupan Najib. 

Seorang bekas perdana menteri seperti Najib, selama berkuasa tidak pernah mendedahkan dirinya kepada tekanan media massa. Ketika berkuasa, media tempatan di bawah penguasaannya hanya dipergunakan sebagai alat propaganda. 

Bukan aneh, ia memang tradisi kerajaan BN terhadap media tempatan: Semua soalan mesti ditentukan lebih awal. Perdana Menteri yang menentukan apa kerja seorang wartawan! 

Sejarah media massa kontemporari di Malaysia, terutama media milik kerajaan BN dulu, hanya alat dan kakasan kuasa. Wartawan atau hos TV tidak pernah dibenarkan bertanya soalan-soalan yang mereka inginkan.

Pada zaman BN, hos TV hanyalah seekor keldai yang dibayar gaji untuk bertanya apa yang diinginkan Perdana Menteri. 

Justeru, pada usia 64 tahun, setelah dihumban rakyat keluar dari Putrajaya, Najib baru berpeluang melihat realiti kewartawanan dan kebenaran yang dicari media massa. 

Bahawa, tanpa kuasa – dirinya hanyalah seorang yang akan dilayan dengan soalan-soalan berasaskan kebenaran yang dunia mahukan jawapan. 

Walaupun Najib mengungkit, perjanjian awal temu bual itu sepatutnya hanya berkisar pada soal ekonomi, tapi Jolley bukan keldai BN. Dia hos yang mencari kebenaran. Seorang tamu yang diselubungi hinaan dunia sebagai bapa kleptokrasi sepatutnya menjawab apa saja pertanyaan. 

Najib patut menjadikan Jolley sebagai alat untuk menjelaskan segala keraguan dunia terhadap dirinya. Wawancara itu sebenarnya peluang terbaik untuk Najib menyatakan kebenaran di pihaknya. 

Sayangnya, Najib memilih untuk naik angin dan emosional. Wataknya dalam rakaman itu seperti budak kecil yang kehilangan gula-gula. Atau, anak manja yang merajuk kerana kehilangan kebesaran dirinya.

Itu pengajaran untuk tokoh politik Malaysia. Apabila anda menghina wartawan tempatan ketika anda berkuasa, akan datang hari pembalasannya. 

Anda pernah menentukan keldai jenis apa yang patut diperwatakkan pada wartawan tempatan. Sekarang, media massa yang mencari kebenaran menjadikan anda pada mata dunia sebagai keldai politik yang gugup dan ketakutan.

Sangat bulat dunia ini. Seperti roda. Roda yang anda gunakan untuk menindas kebenaran, kini roda yang sama menggilis anda atas nama kebenaran. 

Najib sudah melalui detik memalukan yang disaksikan seluruh dunia. Dia merasakan dirinya masih berkuasa untuk menentukan apa jenis soalan yang patut ditanyakan wartawan. Najib masih berfikir, media dunia adalah sebahagian kakasan milik BN. Dia fikir, semua wartawan adalah keldai. 

Jolley dan Al-Jazeera memberikan pengajaran. Seorang wartawan sejati bekerja untuk mencari kebenaran. Hanya seorang penjenayah barangkali culas dan ketakutan. 

Ingat! Karma dunia boleh menyebabkan anda mengamuk kerana ketakutan! 

Wallahua’lam.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen