Kedaulatan undang-undang terpakai untuk semua pihak, kata PM


Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad mengulas tentang tuduhan terbaharu yang dihadapi Najid Razak dan dua pegawai kanan kerajaan berhubung kes pecah amanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2018.

KEDAULATAN undang-undang atau ‘rule of law’ terpakai untuk semua pihak termasuk mereka yang bekas atau masih bergelar perdana menteri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri itu berkata Malaysia mengikut prinsip pemerintahan mengikut undang-undang dan mengemukakan pendakwaan jika bukti sudah mencukupi, sama seperti yang dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak dan dua bekas pegawai kerajaan.

Ketiga-tiga mereka itu dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan kes pecah amanah kerana dipercayai menggunakan wang kerajaan untuk kepentingan diri sendiri.

“Pihak yang mengemukakan dakwaan perlu mempunyai bukti yang cukup terhadap ketiga-tiga mereka atas kesalahan yang sangat serius.

“Ini bukan satu permainan. Kita tidak membalas dendam terhadap sesiapa. Kedaulatan undang-undang terpakai untuk semua orang, sama ada perdana menteri sedia ada atau bekas perdana menteri,” katanya pada sidang media semasa sesi lawatan kerja di Bangkok hari ini.

Dr Mahathir ditanya mengenai berita tentang Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang didakwa di mahkamah hari ini atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan RM6.63 bilion wang kerajaan.

Manakala bekas pengarah Organiasi Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abdul Hamid didakwa dengan tuduhan pecah amanah melibatkan dana awam berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta).

Dr Mahathir berkata di Malaysia, pemerintah atau sultan adalah tertakluk kepada undang-undang negara. – 25 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen