NAJIB Razak, Irwan Serigar Abdullah dan Hasanah Abdul Hamid didakwa dengan tuduhan pecah amanah kerana dipercayai menggunakan wang yang diamanahkan kepada mereka untuk kepentingan diri sendiri.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata kesemua enam dakwaan terhadap Najib dan Irwan mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan wang kerajaan.
“Kesemua dakwaan itu berkait dengan jenayah pecah amanah kerana wang itu digunakan untuk tujuan lain. Wang itu merupakan milik kerajaan dan sebab itu mereka didakwa dengan jenayah pecah amanah,” kata Azam kepada media selepas sesi pendakwaan hari ini.
“Malah pihak peguam mengesahkan semasa sesi pendakwaan bahawa tuduhan ketiga dan keenam berkait dengan penyelesaian dengan IPIC. Saya tidak berkata sedemikian tetapi disahkan oleh pihak peguam,” katanya merujuk kepada transaksi antara syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPIC) di London.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Azam mengesahkan ia berkaitan dengan satu projek infrastruktur yang diberikan kepada syarikat asing.
Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Azam turut menepis dakwaan pihak defendan bahawa mereka tidak menerima sebarang keuntungan daripada mana-mana transaksi.
“Tunggu perbicaraan. Saya tidak boleh katakan sama ada mereka meraih untung. Kita tunggu sahaja perbicaraan.”
Ditanya mengenai penyalahguanaan dana berjumlah RM50.22 juta oleh Hasanah, Azam berkata sebahagiannya disalahgunakan oleh bekas pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) itu.
“Saya tidak boleh nyatakan punca duit itu, tetapi ia merupakan wang kerajaan. Ia telah disalahguna.” – 25 Oktober, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen