Mustapa kekal jawatan ahli Parlimen Jeli


Chan Kok Leong

Mustapa Mohamed juga berkata beliau belum membuat keputusan untuk menyertai parti lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2018.

BEKAS menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mustapa Mohamed tidak akan meletak jawatan sebagai ahli Parlimen Jeli dan masih belum membuat keputusan untuk menyertai parti lain.

“Saya tak akan letak jawatan dan akan teruskan tugas sebagai ahli Parlimen,” kata beliau di lobi Parlimen hari ini.

Apabila Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer bertanya adakah beliau akan menyertai Pakatan Harapan, Mustapa berkata beliau masih belum membuat keputusan.

“Saya masih belum buat keputusan,” kata bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Mustapa hari ini membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 hari ini.

Semasa perhimpunan agung Umno, Presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu telah memulakan prosiding undang-undang terhadap ahli Parlimen Umno yang meletak jawatan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRY14).

Pada 18 September, Mustapa mengumumkan keluar Umno kerana hala tuju parti terbesar orang Melayu itu sudah tidak lagi selari dengan jiwanya. Beliau juga menyatakan rasa tidak yakin dengan Umno selepas pemimpin-pemimpin kanan parti menghadiri muktamar tahunan PAS di Kuala Terengganu.

Mustapa juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Lanas.

Beliau adalah antara lima ahli Parlimen dan 13 Adun yang keluar Umno sejak PRU14.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen