SEORANG aktivis yang juga ahli akademik sudah diminta untuk menyertai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Pengerusinya Azhar Harun.
“Saya sudah menghubungi seseorang yang merupakan aktivis dan ahli akademik yang bagus. Dia tidak berada dalam perkhidmatan awam dan saya akan gesa supaya dia dilantik jadi timbalan saya,” kata Azhar dalam rancangan Breakfast Grille di stesyen radio BFM pagi tadi.
Azhar menambah, beliau juga mahukan pesuruhajaya baharu SPR dipilih daripada gabungan penjawat awam, aktivis dan ahli akademik.
“Ahli akademik boleh datang dengan pengetahuan dan teori, saya juga mahukan mereka dari perkhidmatan awam kerana kita perlukan keberterusan,” katanya.
Minggu lepas, Azhar mengumumkan penamatan kontrak lima pesuruhjaya SPR termasuklah Timbalan Pengerusi Othman Mahmood dan pesuruhjaya Md Yusop Mansur, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi dan Leo Chong Cheong lebih awal iaitu pada 1 Januari 2019.
Badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 turut menggesa seorang lagi pesuruhjaya Bala Singam Karupiah untuk berundur.
Azhar turut menambah yang beliau mencari mereka yang arif undang-undang dan proses pilihan raya serta komited kepada keadilan untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Katanya, SPR hanya perlu bertindak menurut undang-undang supaya ia kelihatan adil.
“Untuk keadilan ia termaktub dalam undang-undang dan ia bukan konsep asing,” katanya yang juga seorang peguam.
Azhar berkata beliau juga mahu mewujudkan keseimbangan gender dengan mencalonkan wanita untuk jawatan pesuruhjaya berbanding semua lelaki sebelum ini. – 23 Oktober, 2018.
Komen