Azmin lebarkan undi atasi Rafizi


Nabihah Hamid

Mohamed Azmin Ali mengumpulkan keseluruhan undi 37,575 mengatasi Rafizi Ramli yang mendapat 36,288.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2018

MOHAMED Azmin Ali melebarkan undi mengatasi Rafizi Ramli selepas empat negeri selesai mengundi dalam pemilihan PKR yang berlangsung hujung minggu ini.

Azmin kini mengatasi Rafizi dengan kelebihan 1,287 undi dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR.

Setakat ini, Azmin mengumpulkan keseluruhan undi 37,575 mengatasi Rafizi yang mendapat 36,288.

Hari ini, bekas Menteri Besar Selangor itu menang di empat daripada tujuh cabang di Selangor yang mengundi dalam pemilihan fasa kedua bagi negeri itu.

Azmin yang mendapat 4,978 undi hari ini menang di Gombak, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan dan Kuala Langat.

Pemilihan PKR akan diteruskan hujung minggu depan dengan giliran Kedah mengundi selama dua hari.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2018

Rafizi pula mendapat 4,385 undi, menang di tiga cabang iaitu Puchong, Klang dan Selayang.

Dalam pada itu, di Perlis, Rafizi menang tipis mengalahkan Azmin dengan 66 undi, lapor Bernama.

Rafizi mendapat 400 undi sementara Azmin meraih 334 undi dari tiga bahagian iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.

Peratusan keluar mengundi di Perlis, sama seperti di semua negeri lain, juga rendah dengan hanya 20% daripada 5,490 ahli yang layak membuat pilihan hari ini.

Sementara itu, Rafizi juga menang dalam pemilihan di Negeri Sembilan yang berlangsung semalam, dengan menguasai undi di lima cabang.

Rafizi mengatasi Azmin dengan kelebihan 91 undi. Beliau mendapat 3,053 undi sementara Azmin memperoleh 2,962 undi.

Rafizi menang di Rembau, Seremban, Rasah, Tampin, dan Jelebu, manakala Azmin menang di Kuala Pilang, Telok Kemang dan Jempol.

Melaka juga mengundi semalam namun keputusannya ditangguhkan selepas berlaku masalah di lima daripada enam cabang apabila undi yang dimasukkan oleh ahli gagal dikesan dalam sistem.

Jawatankuasa pengurusan pemilihan PKR hanya menerima keputusan dari cabang Bukit Katil manakala pemilihan di Tangga Batu, Jasin, Kota Melaka, Masjid Tanah, dan Alor Gajah mungkin akan diadakan semula.

Azmin hari ini mengulangi gesaannya agar masalah dalam pemilihan yang sedang berlangsung ini ditangani selepas ada banyak aduan tentang beli undi dan rasuah selain masalah teknikal.

Rafizi yang juga pengerusi Invoke sebelum ini mengatasi Azmin di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan tetapi kalah kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di Pulau Pinang, Johor dan sembilan cabang di Selangor yang mengundi minggu lalu.

Rafizi Ramli sebelum ini mengatasi Azmin di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan namun kalah di Pulau Pinang, Johor dan sembilan cabang di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2018

Pengerusi Invoke itu sebelum ini mengatasi Azmin di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan tetapi kalah kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di Pulau Pinang, Johor dan sembilan cabang di Selangor yang mengundi minggu lalu.

Pemilihan PKR akan diteruskan hujung minggu depan dengan giliran Kedah mengundi selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 Oktober.

Perak juga akan mengundi pada 27 Oktober, sementara enam cabang di Selangor mengundi pada 28 Oktober.

Selepas itu, pemilihan PKR disambung di Sabah pada 3 dan 4 November sebelum Sarawak menutup pemilihan pada 10 November. – 21 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • puan zuraida tiada comment ke??

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan