PEMANDU teksi Malaysia saling tidak ubah macam bekas kerajaan Barisan Nasional (BN) – tidak berjejak pada zaman.
Kemarahan yang mereka lepaskan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Langkawi hari ini mencerminkan betapa terpisahnya mereka dengan realiti Malaysia pada abad ke-21.
Pertama, disruption atau ketersambungan Internet yang meluas membolehkan orang untuk berkongsi kenderaan untuk ke sana sini.
Kedua, tekanan ekonomi menyebabkan lebih banyak orang mengambil peluang menyertai sektor e-panggilan.
Ketiga, ada lebih banyak pilihan sekarang bagi sesiapa yang mahukan pengangkutan dengan kereta yang lebih baru dan bersih – tidak kisahlah tanpa insurans atau pemandunya yang baru yang tidak tahu hala tujuan.
Tiga alasan itu jugalah yang menyingkirkan BN dan menghantar Dr Mahathir dan Pakatan Harapan ke Putrajaya pada 9 Mei. Internet, ekonomi yang lembap dan ada lebih banyak ahli politik yang boleh dipilih.
Tetapi segelintir pemandu teksi masih hidup dengan masa lalu, merasakan bahawa mereka berhak atas permit dan tambang dalam monopoli pengangkutan awam. Sama pemikirannya dengan ahli politik BN yang selama bertahun-bertahun sebelum ini memerintah Malaysia.
Suatu masa dahulu, merekalah kelompok yang menyebarkan berita kerajaan dan mempengaruhinya. Sehinggakan untuk lima tahun lalu mereka dirayu dengan tayar percuma melalui program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) yang juga menyediakan insurans dan kemudahan lain bagi lebih kurang 67,000 pemandu teksi.
Mereka dilihat sebagai satu komponen mustahak dalam kehidupan rakyat dan pengundi Malaysia. Tetapi dari tahun ke tahun, kemajuan teknologi dan menyampahnya pengguna dengan perkhidmatan teksi yang tidak berkualiti – antara yang terburuk di dunia – menyebabkan lahir perkhidmatan lain.
Statistik tidak menipu. Pada Jun 2016, ada sejumlah 109,870 teksi tetapi setahun kemudian ia berkurangan 10,000 menjadi hanya 98,796, menurut Persatuan Automotif Malaysia. Itu maknanya perniagaan tidak menguntungkan dan pemandu sudah beralih ke sektor lain.
Sebagai perbandingan, syarikat kereta panggilan Grab melaporkan Malaysia kini berada di tangga 33 dalam senarai sektor perkhidmatan kongsi kereta dunia dengan pendapatannya dianggarkan AS$90 juta tahun ini.
Pendapatan itu dijangka akan tumbuh pada kadar 15.3% setahun dan mencecah AS$160 juta pada 2022. Pemandu Grab di Malaysia juga mempunyai peningkatan pendapatan purata 48% walaupun jumlah penggunanya hanya 5.2% pada 2018. Jumlah penggunanya dijangka meningkat kepada 7% pada 2022.
Jelas bahawa kerajaan Dr Mahathir yang baru ini masih mahu mengawal sektor kongsi kereta ini dengan mengeluarkan lesen, insuran dan jenis kenderaan bagi mewujudkan padang permainan yang rata untuk pemandu teksi sedia ada yang masih dianggap mustahak bagi sesetengah kawasan di Malaysia.
Tetapi mereka perlu meningkatkan kecekapan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding mereka yang melakukannya secara sambilan atau sementara menunggu kerja tetap. Jika tidak, mereka akan tetap kalah kepada pemandu Grab dan yang lain-lainnya dalam sektor kereta panggilan ini.
Hakikatnya, penggunalah yang menentukan sama ada mereka mahu naik teksi atau lebih selesa menggunakan aplikasi untuk mendapatkan kenderaan pada harga yang berpatutan. Sama seperti pengundi yang membuat keputusan menggantikan BN dengan PH sebagai kerajaan.
Rakyat akan buat keputusan.
Bersikap kurang ajar dengan Dr Mahathir hanya akan mempercepatkan kuasa pasaran menamatkan perniagaan teksi. Kalau difikir-fikirkan, sama seperti bagaimana BN kalau PRU14. – 21 Oktober, 2018.
* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan