KERAJAAN akan menyemak semula status lagu Keroncong Kemayoran yang tersenarai dalam 149 lagu gubahan P. Ramlee dan diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi berkata pihaknya akan bermesyuarat bersama jabatan berkaitan untuk memastikan lagu yang diisytiharkan itu sememangnya warisan negara.
“Saya sebetulnya minat lagu-lagu semua ini tetapi asal dari mana saya tak berapa pasti. Lagu P. Ramlee memang semua minat dan angkat lagu P. Ramlee daripada Malaysia. Mungkin ya, mungkin tidak daripada Indonesia.
“Belum ada perbincangan sebab perasmian beberapa hari yang lalu. Kita akan buat semakan, jadi saya rasa tidak ada masalah,” kata ahli Parlimen Silam itu mengulas pertanyaan wartawan mengenai status lagu tersebut.
Status sebenar lagu tersebut menjadi persoalan kerana ia didakwa bukan ciptaan penyanyi legenda P. Ramlee tetapi sebaliknya berasal dari Indonesia.
Judul lagu itu Keroncong Kemayoran merujuk pada tempat seni keroncong itu berkembang namun sehingga kini penciptanya masih belum dipastikan.
Mohamadin bagaimanapun menegaskan proses usaha untuk menjadikan kesemua lagu P. Ramlee sebagai warisan kebangsaan itu melalui proses yang betul termasuk mendapat kebenaran hak cipta lagu.
Pada majlis sebelum ini, keluarga P. Ramlee turut diberi penghargaan oleh pihak kementerian.

“Saya rujuk pada semua (keluarga dan pemilik lagu) kalau kita ambil sahaja lagu itu, boleh kena saman,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamadin juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan tempoh khas untuk menggalakkan rakyat melancong dalam negara seperti Golden Week di China.
Golden Week yang berlangsung di negara China pada setiap awal Oktober turut menyebabkan jumlah pelancong negara itu ke Malaysia merosot seramai 30,000 orang.
“Kita harus buat Golden Week untuk rakyat bagi menggalakkan pelancong tempatan,” katanya yang mengulas mengenai penurunan lebih 30 peratus pelancong China awal bulan ini.
Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (Mita) Jason Ow Yeang memberitahu The Malaysian Insight, dianggarkan terdapat 100,000 pelancong China melawat Malaysia pada minggu pertama Oktober tahun lepas.
Jumlah itu bagaimanapun jatuh kepada kurang 70,000.
Ow Yeang mendakwa kejatuhan angka ini mungkin disumbangkan oleh faktor perubahan kerajaan di Putrajaya.
Muhammadin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri istiadat konvokesyen 94 pelajar diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah di Aswara.
Hadir sama dalam istiadat itu ialah Rektor Aswara Rizon Juhari dan Ahli Lembaga Pengarah Aswara Siti Nurhaliza Tarudin. – 20 Oktober, 2018.
Komen